Peguam Negara dapat tepukan gemuruh berucap dalam bahasa Melayu - Berita Semasa | mStar

Peguam Negara dapat tepukan gemuruh berucap dalam bahasa Melayu

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2018 5:44 PM

Tommy Thomas

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas terpalit dengan kontroversi berkaitan isu penggunaan bahasa Melayu, Peguam Negara Tommy Thomas pada Khamis menerima tepukan gemuruh apabila berjaya membuktikan bahawa beliau boleh bertutur bahasa kebangsaan itu dengan baik.

Video Tommy menyampaikan ucapan tersebut pada majlis rumah terbuka hari raya Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) di Putrajaya tular di laman sosial.

Tetamu yang hadir pada majlis itu terus memberikan tepukan sebaik sahaja Tommy merakamkan ucapan alu-aluan: "Salam sejahtera dan selamat tengah hari."

ARTIKEL BERKAITAN: "Boleh kita lakukan dalam bahasa Inggeris?" - Tommy

ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen gesa Agong pecat Tommy kerana lemah BM

Kata Tommy, majlis tersebut merupakan platform terbaik bagi pegawai daripada Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk beramah mesra.

"Saya sendiri akan memberikan komitmen untuk mengukuhkan usaha persatuan dalam memperjuangkan kebajikan dan isu perundangan negara.

"Saya berharap hubungan erat antara para pegawai dapat dikuatkan lagi kerana semangat setia kawan sebegini akan membawa manfaat kepada semua," kata Tommy yang sekali lagi diberikan tepukan oleh tetamu selepas melihat kesungguhan beliau menggunakan bahasa Melayu.

☆☆☆APPLAUSE☆☆☆ ☆☆☆APPLAUSE☆☆☆ ☆☆☆APPLAUSE☆☆☆ ☆☆☆APPLAUSE☆☆☆ ☆☆☆APPLAUSE☆☆☆

Posted by Shamsul Sulaiman on Wednesday, July 11, 2018

Klip video yang menunjukkan Tommy menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu.

Pada 4 Julai lalu, Tommy terpaksa membatalkan sidang media yang sepatutnya diadakan selepas perbicaraan pertama kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mengunakan bahasa Inggeris di dalam mahkamah.

Petisyen secara dalam talian turut dilancarkan bagi menggesa Yang di-Pertuan Agong memecat Tommy kerana kelemahannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Petisyen di change.org yang dimulakan oleh Fyizuddin Jaafar pada 4 Julai itu memperoleh lebih 5,515 tandatangan ketika laporan ini ditulis.

Ironinya, kenyataan dalam petisyen itu juga terdapat beberapa kesilapan tatabahasa dan ejaan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan