Tiada kenaikan tarif elektrik pengguna domestik sehingga enam bulan akan datang - Berita Semasa | mStar

Tiada kenaikan tarif elektrik pengguna domestik sehingga enam bulan akan datang

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2018 3:09 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pengguna domestik tidak akan membayar kenaikan tarif elektrik bagi tempoh enam bulan akan datang kerana ia akan diberikan subsidi oleh kerajaan, kata Yeo Bee Yin.

"Kerajaan membelanjakan RM114 juta agar 81.7 peratus semua pengguna elektrik tidak perlu membayar surcaj elektrik.

"Jadi kalau anda melihat kepada bil elektrik, tiada surcaj, ia akan jadi kosong kerana kerajaan bayar untuk anda," kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu.

Bee Yin berkata demikian ketika mengulas komen Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada minggu lalu yang berkata kenaikan tarif elektrik boleh 'membunuh' usaha Pakatan Harapan untuk merendahkan kos sara diri.

Kata Bee Yin, Rafizi salah faham dan pengguna komersial voltan rendah akan mengalami kesan kecil daripada kenaikan tarif tersebut.

"Bagi 1.1 juta pengguna komersial voltan rendah, kesan surcaj ditolak dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan Malaysia (GST) hanyalah kurang daripada 70 sen.

"Kalau kedai mamak kata bil elektrik mereka naik, dan kerana itu harga nasi lemak terpaksa dinaikkan, jangan percaya mereka.

"Anda boleh buat laporan tentang kenaikan harga kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," kata Bee Yin sambil menambah bahawa beliau akan menjelaskan mengenai perkara itu di Parlimen pada minggu depan.

Menurut Bee Yin, adalah penting bagi kerajaan untuk melindungi pengguna domestik dan membantu mereka sekiranya berlaku peningkatan harga.

"Saya mahu menyimpan dana untuk pengguna domestik. Kalau terdapat peningkatan bahan api, kita boleh gunakan dana itu untuk memberi subsidi kepada pengguna domestik," kata Bee Yin.

Tambah beliau, subsidi RM114 juta akan diberikan untuk tempoh Julai hingga Disember.

Tarif elektrik di Malaysia akan dikaji bagi setiap enam bulan.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata sebelum ini bahawa pengguna bukan domestik perlu membayar lebih untuk penggunaan elektrik, dengan surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak 1.35 sen per kilowatt sejam berikutan kos penjanaan dan harga bahan api.

Tags / Kata Kunci: tarif elektrik , Yeo Bee Yin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan