“Mujur sempat tarik kunci kereta pakcik” - Berita Semasa | mStar

“Mujur sempat tarik kunci kereta pakcik”

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2018 11:47 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kecoh di media sosial mengenai rakaman sebuah kenderaan yang dipandu secara berbahaya dari Lebuhraya Sprint hingga Lebuhraya Persekutuan, menghala ke Klang pada Selasa.

Menerusi dua rakaman video itu, kenderaan jenis Honda CRV itu beberapa kali melanggar penghadang jalan dan bertukar lorong secara tiba-tiba, selain melanggar kenderaan lain. 

Bercakap kepada mStar Online, perakam video tersebut, Mohd Faizal Mohd Sabri, 35, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Bangi.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori itu mula mengikut kereta tersebut berdekatan Pusat Sains Negara di Bukit Kiara menghala ke Lebuhraya Persekutuan.

Semasa kereta tersebut berhenti secara tiba-tiba di tengah lebuhraya, kata Mohd Faizal, dia segera memberhentikan motosikal di belakang kenderaan itu.

Mohd Faizal Mohd Sabri.

Bagaimanapun katanya, pemandu berkenaan meneruskan pemanduan dalam keadaan berbahaya sehingga melanggar palang tol.

“Lepas dia langgar palang tol tu, dia berhenti sekejap dan masa aku baru sampai kat kereta dia, baru je nak tanya dia kenapa bawa kereta macam ular kena pukul, dia terus tekan minyak, kereta terus jalan.

“Masa ni lah aku keluarkan telefon untuk rakam pergerakan kereta dia sebab aku bimbang berlaku sesuatu yang buruk dan tak dijangka, maka aku ada bukti yang mungkin boleh diguna pakai kelak,” katanya.

Mohd Faizal menjelaskan, antara sebab dia tidak menghubungi polis terlebih dahulu kerana ketika kejadian kereta berkenaan sedang bergerak dan perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku.

Dia cuba memastikan kenderaan lain tidak menghampiri kereta yang dipandu seorang lelaki yang tidak dikenalinya itu kerana dikhuatiri mengundang bahaya.

Dalam keadaan cemas itu, muncul seorang lagi penunggang motosial yang turut sama membantu mengawal keadaan sehingga kereta tersebut berhenti.

“Alhamdulillah, lepas saja keta pakcik ni berhenti, tak sampai lima minit pun, aku tengok polis-polis trafik yang bawa motosikal, kereta peronda dah sampai kat belakang kereta pakcik ni.

“Masa aku dengan polis trafik tu periksa pakcik tu, nyaris-nyaris kami tak dilanggar sebab pakcik tu masih nak tekan minyak kereta dia. Mujur aku sempat tarik kunci kereta dia,” katanya sambil menambah kes pemandu tersebut kemudian dikendalikan oleh polis trafik.

Dilaporkan, dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, Honda CRV yang dipandu Ti Teow Yong berusia 79 tahun melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, seorang anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya yang berada di lokasi kejadian menahan lelaki warga emas itu dan membawa keretanya ke balai polis.

“Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas itu dalam keadaan tidak sihat akibat tekanan darah rendah.

“Anak mangsa datang ke balai selepas dihubungi dan terus membawanya ke Pusat Perubatan Tropicana bagi pemeriksaan sebelum lelaki terbabit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa, sambil menambah bahawa kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan