PMO sekat langkah menteri 'lantik' kawan-kawan - Berita Semasa | mStar

PMO sekat langkah menteri 'lantik' kawan-kawan

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2018 9:18 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Beberapa menteri nampaknya tidak mendapat memo mengenai usaha berterusan untuk mewujudkan Kabinet kecil dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menteri-menteri ini berusaha untuk memberi ganjaran kepada penyokong politik mereka dengan memberikan pekerjaan walaupun cara itu melanggar peraturan pengambilan pegawai kerajaan.

Namun Pejabat Perdana Menteri (PMO) berusaha untuk menghentikan langah tersebut.

Difahamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan surat pekeliling ke pejabat semua menteri dan timbalan menteri sebagai peringatan.

Dalam surat tersebut, beliau mengingatkan bahawa gaji pegawai yang dilantik oleh menteri dan timbalan menteri mestilah selari dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dikeluarkan pada 2012.

Pekeliling PMO bertujuan untuk menghentikan amalan pemberian gaji dan melantik pekerja melebihi daripada jumlah dibenarkan dalam peraturan tersebut, kata sumber kerajaan kepada The Star.

Difahamkan seorang menteri telah memaklumkan kepada kementeriannya bahawa beliau mahu melantik sekurang-kurangnya enam pegawai khas.

"Beliau beritahu pegawai-pegawai di kementeriannya bahawa penyokongnya perlu diberikan ganjaran selepas pilihan raya umum.

"Beliau juga berkata jika kementerian tidak boleh membayar gaji pegawai khas tersebut, agensi dibawah kementerian itu boleh berbuat demikian.

"Namun beliau dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian kerana ia melanggar peraturan," kata sumber.

Rancangan itu terbantut selepas PMO mendapat tahu mengenainya.

Terdapat juga kes seorang lelaki yang menghubungi seorang pegawai kementerian mendakwa dia akan melapor diri sebagai pegawai khas kepada menteri yang baharu mengangkat sumpah Isnin lalu.

Pemanggil itu juga mendakwa dia akan membawa bersama beberapa individu untuk berkhidmat juga sebagai pegawai khas.

"Bukan menteri yang saya bimbangkan tetapi orang yang dilantik. Saya tidak pasti di mana kementerian akan mendapatkan wang untuk membayar mereka tetapi pastinya agensi dibawah kementerian akan diminta berbuat demikian," katanya.

Ketika ditanya mengenai episod terbaru, seorang pegawai PMO menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal dan keterlaluan.

"Kita tidak mahu kembali ke hari pentadbiran terdahulu dengan kakitangan dan gaji dibayar agensi atau GLC.

"Menteri-menteri ini harus dimaklumkan bahawa mereka terikat dengan jumlah yang dinyatakan dalam pekeliling itu," kata seorang pegawai PMO.

Pekeliling PMO mengingatkan ketua kementerian pekeliling PSD 2012 mengenai jawatan dan perkhidmatan berkaitan dengan pejabat menteri dan timbalan menteri.

Pekeliling JPA menyatakan bahawa seorang menteri hanya boleh melantik seorang pegawai tugas-tugas khas, seorang setiausaha sulit kanan dan seorang setiausaha akhbar, selain kakitangan sokongan.

Pegawai Gred 54 boleh memperoleh gaji maksium RM10,000 sebulan termasuk elaun.

Seorang timbalan menteri pula boleh melantik seorang setiausaha sulit kanan, seorang setiausaha sulit dan dua kakitangan sokongan.

Namun selepas mesyuarat Kabinet pada 27 Jun lalu, Dr Mahathir mengeluarkan surat pekeliling antara lain memaklumkan kerajaan memutuskan bahawa seorang menteri boleh mempunyai dua pegawai tugas-tugas khas.

Tidak lama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan menamatkan kira-kira 17,000 pegawai lantikan politik sebagai sebahagian daripada rancangan pembaharuannya untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

"Kami dapati terlalu banyak pegawai kontrak. Ada di antara mereka diambil secara kontrak kerana perkhidmatan mereka diperlukan kerajaan terdahulu tetapi ada segelintir diberi kontrak kerana alasan politik," kata Dr Mahathir.

Tags / Kata Kunci: PMO , menteri , timbalan menteri
   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan