Bayi dicampak dari tingkat dua meninggal dunia - Berita Semasa | mStar

Bayi dicampak dari tingkat dua meninggal dunia

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2018 8:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki yang dipercayai dicampak dari tingkat dua sebuah  bangunan di Pusat Hentian Kajang pada 24 Jun lalu, meninggal dunia Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata  bayi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Kajang meninggal dunia pada 4.53 pagi.

"Laporan bedah siasat pada Isnin mendapati punca kematian adalah akibat hentakan kuat di kepala," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 24 Jun lepas, bayi lelaki yang masih bertali pusat dan tidak berpakaian itu ditemukan seorang pemilik restoran berhampiran lokasi bayi itu dibuang pada 5 petang.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita warga asing berusia 22 tahun pada 11.30 malam hari sama di perkarangan Hospital Kajang untuk siasatan.

Ahmad Dzaffir berkata suspek wanita itu didakwa di Mahkamah Seksyen Kajang pada Jumaat lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan.

"Tuduhan akan dirujuk  kembali kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kerana bayi telah berkenaan meninggal dunia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias mengesahkan mayat bayi perempuan ditemukan di sebuah pangsapuri di Pandan Indah di sini hari ini. 

"Mayat bayi itu kini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya mengenai penemuan pada 9.19 pagi itu.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Campak bayi , meninggal dunia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan