Ibu bapa anggap isu anak nikahi lelaki 41 tahun selesai - Berita Semasa | mStar

Ibu bapa anggap isu anak nikahi lelaki 41 tahun selesai

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2018 2:52 PM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Ibu bapa budak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun yang bernikah dengan lelaki, 41, menganggap isu tersebut selesai selepas lelaki itu didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada Isnin.

Bapanya, Mat Rashid Rimadsa, 49, tidak mahu perkahwinan anak perempuannya dijadikan isu sehingga menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga kerana sejak perkara itu timbul, kerjanya sebagai penoreh getah terjejas.

“(Sejak isu itu timbul) setiap hari saya bersama isteri, Aminah Hitam dan anak terpaksa melayan orang yang bertanyakan perkara itu dan tidak ada masa untuk keluar menoreh getah,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Panggong Lalat di sini, Selasa.

Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang mendenda peraih getah, Che Mohd Karim Che Hamid sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman denda RM900 bagi setiap pertuduhan terhadap lelaki itu selepas mengaku bersalah atas kedua-dua kesalahan tersebut. Lelaki terbabit kemudiannya membayar denda itu.

Pada 18 Jun lalu, tular dalam media sosial bahawa lelaki yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis di sini, bernikah dengan budak perempuan bawah umur berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya di Sungai Golok, Selatan Thailand.

Sementara itu, ibu budak perempuan tersebut, Aminah, 47, berkata beliau terpaksa pulang ke Thailand selama tiga hari pada minggu lepas bagi urusan sambung permit kerja dan bagi memberi keterangan berhubung pernikahan anaknya kepada Majlis Agama Islam Narathiwat.

Beliau berkata Majlis Agama Islam Narathiwat, bagaimanapun tidak mengambil sebarang tindakan ke atas anaknya walaupun bernikah bawah umur kerana mengikut perjanjian, lelaki itu hanya akan tinggal bersama anaknya apabila gadis itu berusia 16 tahun.

"Tak ada masalah pun mengenai pernikahan anak perempuan kami kerana sah dari segi hukum serta persetujuan bersama, apapun kita bersyukur perkara itu tidak berbangkit lagi," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Budak 11 tahun , kahwin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan