"Kita tidak mahu BTN" - Berita Semasa | mStar

"Kita tidak mahu BTN"

Diterbitkan: Isnin, 9 Julai 2018 8:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Biro Tatanegara (BTN) akan dimansuhkan dalam  tempoh terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin.

“Kita  tidak mahu BTN, ia akan dimansuhkan,” katanya pada forum bertajuk “Perubahan Landskap Politik dan Aspirasi Belia” di Sunway University, di sini.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan untuk menutup BTN yang dikecam pihak tertentu sejak beberapa tahun lepas kerana mendakwa biro itu digunakan untuk memupuk doktrin perkauman serta ketaksuban dan hanya menguntungkan tuan politiknya.

Menyentuh mengenai perkara lain, Anggota Parlimen Muar itu berkata beliau komited  terhadap cadangan agar usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Saya komited untuk menjadikannya suatu kenyataan dalam penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang.

“Kita tidak boleh memandang rendah kebijaksanaan mereka  berusia 18 tahun dan menilai  lebih tinggi kebijaksanaan mereka berusia  lebih 50 tahun,” katanya.

Syed Saddiq berkata sebaik sahaja Pakatan Harapan membuat pengumuman bahawa mereka yang berusia 18 tahun layak mengundi, insentif besar akan diberi kepada parti politik agar mereka mendampingi kumpulan itu.

“Minda pengundi muda adalah lebih terbuka, mereka juga terbuka kepada dialog dan forum serta berminat dengan Malaysia yang pelbagai  kaum,” jelas beliau.

Bagamanapun, katanya konsep memperkenalkan identiti Malaysia dalam kalangan orang muda tidak akan tercapai sekiranya tiada pembaharuan institusi. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Syed Saddiq , BTN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan