Ahmad Zahid ketuai blok pembangkang - Berita Semasa | mStar

Ahmad Zahid ketuai blok pembangkang

Diterbitkan: Isnin, 9 Julai 2018 9:55 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Apabila sesi Dewan Rakyat mula bersidang pada 16 Julai ini, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir pasti menjadi Ketua Pembangkang.

Ini kerana selepas PAS, satu-satunya parti pembangkang yang mempunyai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, menyuarakan sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri itu untuk jawatan tersebut.

Ahmad Zahid berkata beliau sedia memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Saya ada beberapa idea mengenai bagaimana pembangkang sepatutnya memainkan peranan. Saya akan berbincang dengan Ahli Parlimen yang lain," katanya.

Sumber berkata selain Ahmad Zahid, terdapat empat nama Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan kerusi panas itu.

Empat individu itu adalah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang), Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu), Datuk Seri Azalina Othman (Ahli Parlimen Pengerang - Umno) dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Menurut sumber, Abdul Hadi dan Takiyuddin memberi gambaran bahawa mereka tidak berminat untuk mengisi jawatan tersebut.

"Ini tidak mengejutkan kerana PAS tidak mempunyai ramai Ahli Parlimen di Parlimen.

"Walaupun jawatan itu dikhaskan untuk presiden parti, kebiasaannya parti yang mempunyai ramai Ahli Parlimen akan dilantik.

"Abdul Hadi dan Takiyuddin memberi bayangan kepada Umno bahawa parti itu perlu mengetuai blok pembangkang," kata sumber itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) 9 Mei lalu, Barisan Nasional memenangi 79 kerusi Parlimen manakala PAS 18 kerusi.

Sumber berkata, Khairy turut melobi secara senyap untuk jawatan tersebut meskipun tewas pada pemilihan Presiden Umno.

"Beliau tidak mengalah tetapi sokongan dari PAS dan hakikat bahawa Ahmad Zahid adalah presiden Umno, peluangnya amat tipis," kata sumber.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan