Anwar jalani pembedahan tulang belakang di Turki - Berita Semasa | mStar

Anwar jalani pembedahan tulang belakang di Turki

Diterbitkan: Ahad, 8 Julai 2018 8:03 PM

Anwar berkongsi gambar ke laman Facebooknya yang dipercayai diambil selepas menjalani pembedahan tulang belakang di Turki.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pembedahan tulang belakang di Turki dan akan menjalani pembedahan lain di bahu kanannya pada Khamis.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Anwar berkata beliau mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan itu bagi memulihkan kesihatannya.

Kata Anwar, beliau mengalami 'lumbar central stenosis', keadaan di mana saluran tulang belakang sempit, menyebabkan rasa sakit dan kebas.

"Sebagai pemulihan 'lumbar central stenosis secondary' dan 'central disk herniation' yang saya alami, saya harus menjalani pembedahan tulang belakang susulan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

"Alhamdulillah, kesihatan beransur baik usai pembedahan tersebut dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator," kata beliau pada Ahad.

Anwar turut memuat naik gambar beliau dan para doktor dan dua anak perempuannya di hospital tersebut.

Anwar dilihat berdiri menggunakan alat sokongan yang dibalut di bahagian bawah badannya dalam gambar tersebut yang dipercayai dirakam selepas pembedahan tersebut.

Beliau sebelum ini dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bulan lalu selepas mengadu sakit bahu dan belakang sekembalinya dari lawatan ke Turki.

Kata Anwar, pemeriksaan koronari angiogram telah dijalankan ke atas beliau sewaktu di PPUM bagi menentukan tahap dan keperluan untuk menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan