1MDB: SPRM kini tumpu kumpul bukti dari luar negara - Berita Semasa | mStar

1MDB: SPRM kini tumpu kumpul bukti dari luar negara

Diterbitkan: Sabtu, 7 Julai 2018 10:19 PM

Mohd Shukri Abdull.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan siasatan dalam negara telah hampir selesai sepenuhnya dan kini tumpuan adalah kepada pengumpulan bukti di luar negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata, siasatan dalam negara sebelum ini merangkumi separuh daripada kes manakala bakinya adalah di luar negara.

“Lima puluh peratus kita dah lengkapkan (kumpul) bukti tempatan, sekarang kita melihat bukti dari luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Program ‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages' di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, Sabtu.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.  Hadir sama Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad.

Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataannya semalam bahawa siasatan 1MDB telah selesai 50 peratus. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan polis yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan saman yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya, beliau hanya berkata: “Itu hak dia (NGO) untuk buat laporan polis. Samanlah saya terima, biar mahkamah putuskan.” 

Pada Jumaat, media melaporkan Pemantau Malaysia Baru membuat laporan polis terhadap Mohd Shukri selepas tindakan beliau membekukan akaun keluarga Najib yang didakwa mempunyai unsur membalas dendam.

Selain itu, media turut melaporkan Najib mengemukakan saman terhadap tiga individu termasuk Mohd Shukri susulan beberapa kenyataan yang dibuat mereka berkenaan 1MDB.  

Dua lagi ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Tags / Kata Kunci: SPRM , 1MDB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan