Hikmah kaki dipotong, anggota APMM bersatu kembali dengan keluarga - Berita Semasa | mStar

Hikmah kaki dipotong, anggota APMM bersatu kembali dengan keluarga

Diterbitkan: Sabtu, 7 Julai 2018 7:24 AM

Redzuan Md Noor menunjukkan keadaan kaki kanannya ketika dirawat di hospital.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setelah hampir tujuh tahun terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak, takdir menentukan dugaan yang menimpa seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Bintara Kanan Maritim membolehkannya bersatu kembali dengan keluarganya.

Redzuan Md Noor, 40, yang bertugas di APMM Mersing, Johor, terlibat dalam satu kemalangan pada Ramadan lalu sehingga menyebabkan bahagian pada kaki kanannya dipotong.

Disebabkan tragedi itu, dia yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysa (ATM) kini dipindahkan ke Pulau Pinang, berdekatan dengan isteri dan tiga anaknya.

"Sudah tiga kali saya buat permohonan untuk berpindah iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017 tetapi ia tidak diluluskan.

"Biarpun dugaan potong kaki ni berat, tapi mungkin ada hikmah disebaliknya. Apabila dah terjadi macam ni baru boleh ditukar ke Pulau Pinang dan bersatu semula dengan keluarga saya," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online.

Dia kini sedang berehat di rumah keluarganya di Kulim, Kedah dan dijangka kembali ke Pulau Pinang tidak lama lagi.

Mengimbas mengenai kemalangan itu, Redzuan yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di sebuah simpang pada 6 Jun lalu.

Rempuhan itu menyebabkan dia terpaksa menjalani tiga pembedahan sehingga sebahagian kakinya dipotong.

Lebih memilukan, pembedahan ketiga berlangsung sehari sebelum sambutan 1 Syawal menyebabkan dia terpaksa beraya di Hospital Sultan Ismail, Johor.

Selain dipindahkan ke Pulau Pinang, dia turut melihat dugaan tersebut sebagai fasa baharu yang akan mengeratkan lagi hubungannya bersama anak-anak.

"Sebelum ini tinggal berjauhan dan jarang-jarang berjumpa, anak sulung misalnya kurang rapat dengan saya.

"Tapi bila saya masuk hospital hari tu, dia sanggup cuti seminggu untuk jaga saya. Selepas ini kami dapat tinggal bersama, harapnya hubungan kami juga akan semakin erat," ujarnya lagi.


Redzuan dan isteri, Norlia Aznan mempunyai tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haziq Iqbal, 15, Muhamad Danis Ishidar, 12 dan Kyra Masturina, 10.

Dalam pada itu, dia yang meminati sukan bola sepak sejak di bangku sekolah rendah mengakui sedikit kecewa apabila keadaan fizikalnya kini memerlukan dia melupakan minatnya itu.

Malah, skop kerjanya di APMM Mersing yang banyak terlibat dengan kerja lapangan juga bertukar hampir 360 darjah apabila dia kini ditugaskan untuk bekerja dalam pejabat sahaja.

"Saya suka buat kerja lasak, mengedalikan senjata api, menaiki bot, buat tangkapan bot warga asing dan sebagainya. Sekarang sudah terbatas pergerakan saya.

"Begitu juga dengan bola sepak. Selain pernah menjadi wakil sekolah dan daerah suatu ketika belajar di Selama, Perak dahulu, saya juga ada bermain bola dengan kawan-kawan apabila berkelapangan.

"Agak kecewa juga, sekarang nak berlari pun terbatas. Kalau pakai kaki palsu pun selepas ini, ia pastinya tidak sama dengan kaki asal," kata Redzuan lagi.

Tags / Kata Kunci: APMM , Potong kaki , Redzuan Md Noor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan