Khabar angin pegawai khas dilantik aktivis LGBT, ini jawab Syed Saddiq - Berita Semasa | mStar

Khabar angin pegawai khas dilantik aktivis LGBT, ini jawab Syed Saddiq

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2018 9:54 PM

syed saddiq

Syed Saddiq. Foto Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Khabar angin bertiup kencang kononnya aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilantik sebagai pegawai khas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Belia dan Sukan berkata, setakat ini tiada seorang pun pegawai yang telah dilantik di pejabatnya secara rasmi.

“Saya terpanggil untuk memberi penjelasan berhubung dengan khabar-khabar angin pelantikan pegawai di pejabat Menteri Belia dan Sukan.

“Sehingga kini, tiada satu pun pegawai yang telah dilantik di Pejabat Menteri Belia dan Sukan secara rasmi. Setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas juga belum ada,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, Jumaat malam.

Desas-desus mengatakan aktivis LGBT berkenaan pernah terbabit dalam penganjuran acara buka puasa ‘gay’ secara besar-besaran di Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau masih dalam proses menemuduga pegawai-pegawai untuk berkhidmat di pejabatnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ini kerana beliau tidak mahu tergesa-gesa dalam urusan pelantikan jawatan berkenaan kerana menyedari peranan menerajui KBS merupakan tanggungjawab besar.

“Untuk mengangkat dan memartabatkan suara anak muda, saya perlukan #TeamYouthPower yang terbaik dalam KBS. 

“Terdapat ‘permata’ yang tersembunyi di seluruh Malaysia. Sebab itu saya mengambil pendirian untuk menerima CV (curriculum vitae) dari sesiapa pun,” ujar Syed Saddiq.

Tags / Kata Kunci: Syed Saddiq , LGBT
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan