"Jika penderitaan bapa bahagiakan rakyat, beliau sanggup hadapi" - Berita Semasa | mStar

"Jika penderitaan bapa bahagiakan rakyat, beliau sanggup hadapi"

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2018 12:20 PM

Mohd Nazifuddin hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta sebagai tanda sokongan kepada bapanya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas Nooryana Najwa, kini giliran Datuk Mohd Nazifuddin, anak hasil perkahwinan terdahulu Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan perasaan mengenai situasi yang menimpa bapanya.

Mohd Nazifuddin yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkongsi perasaannya itu dengan netizen di Facebook, awal pagi Jumaat.

Beliau menyifatkan bapanya itu sanggup menghadapi penderitaan akibat pertuduhan pecah amanah dan rasuah seandainya ia dapat membahagiakan rakyat Malaysia.

"Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau sanggup menghadapi penderitaan itu.

"Dia adalah ayah saya, dan saya tahu orang Malaysia mengenali beliau jenis orang yang macam mana.

"Jika selama 42 tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan sebagai seorang penjahat, atau niatnya untuk mencuri wang rakyat semata-mata, saya tidak fikir beliau dapat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada tahun-tahun yang lalu," katanya dalam posting tersebut.

Dakwa Mohd Nazifuddin, kerajaan 'Malaysia Baru' tidak jauh berbeza dengan Malaysia lama hampir 30 tahun yang lalu, cuma individu sahaja berbeza tapi kebetulan perdana menteri masih sama.

"Saya ingin menyuarakan hakikat ini, kami sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi sememangnya tidak matang dari segi politik, masih mengamalkan politik ‘feudal’ yang penuh dengan dendam.

Najib didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

"Serbuan polis yang terancang, dilihat bersama ‘black maria’ di mana mereka datang beramai-ramai hanya untuk menyerang rumah mantan PM, pada waktu sahur di bulan Ramadan lagi.

"Persidangan akhbar yang dibuat, tidak putus-putus semata-mata untuk menimbulkan lagi kemarahan orang ramai. Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran semasa siasatan sedang dijalankan. Atau adakah ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan lagi ayah saya?," soalnya.

Beliau turut mempersoalkan mengenai kelogikan jika seorang perdana menteri boleh dibeli dengan hanya RM42 juta.

"Sekadar itu sahajakah nilai integritinya? Jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa mahupun rasuah boleh dikaitkan dengan seorang PM, maka beliau dan kesemua mantan PM sebelum ini haruslah bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang telah dialami sepanjang kepimpinan mereka," katanya.

Mohd Nazifuddin mendakwa situasi yang dihadapi bapanya ketika ini adalah berpaksikan dendam kerajaan hari ini semata-mata.

"Sudah jelas kepada saya bahawa tunjang manifesto pembangkang sewaktu PRU14 adalah untuk membawa perdana menteri yang dituduhnya korup ke muka pengadilan di mahkamah," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan, para penyokong dan netizen yang sentiasa memberi sokongan kepada bapanya.

"Dalam hidup ini saya mempunyai cuma seorang bapa dan seorang ibu, tanpa mereka, tak wujudlah saya. Walau apapun terjadi selepas ini, saya akan tetap setia bersama mereka.

"Saya akan terus berikan sokongan penuh saya kepada beliau kerana dia tetap ayah saya, dan dia pernah menjadi seorang pemimpin Malaysia tercinta," kata Mohd Nazifuddin.

Mohd Nazifuddin adalah anak kedua Najib bersama isteri pertamanya, selain Mohd Nizar dan adiknya, Puteri Norlisa.

Tags / Kata Kunci: Mohd Nazifuddin , Najib Razak , anak Najib
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan