Dr Maszlee tak arah sekolah kutip derma Tabung Harapan - Berita Semasa | mStar

Dr Maszlee tak arah sekolah kutip derma Tabung Harapan

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2018 11:27 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengeluarkan arahan kepada sekolah-sekolah di Kelantan supaya memberi sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) adalah tidak benar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pagi Jumaat menafikan dakwaan berhubung perkara itu yang tular di media sosial.

"KPM ingin mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis atau lisan kepada sekolah-sekolah khususnya di Kelantan untuk memberi sumbangan kepada Tabung Harapan sebagaimana yang tular di media sosial," menurut kenyataan itu.

KPM menambah, hasil siasatan mendapati ia adalah inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang melaksanakan kempen kutipan Tabung Harapan di sekolah-sekolah negeri berkenaan.

Bagaimanapun, KPM memaklumkan pelancaran kutipan tabung tersebut dibatalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Pada Jumaat, surat makluman pelancaran dan pelaksanaan Tabung Harapan peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dengan logo rasmi KPM menjadi bualan hangat netizen.

Menurut surat tersebut, majlis pelancaran tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu akan disempurnakan Dr Maszlee di Dewan Utama BTPN Kelantan kira-kira pukul 2.30 petang.

Dalam surat itu juga, pihak sekolah dialu-alukan untuk turut menderma sebagai tanda sokongan dan kecintaan kepada negara.

Untuk rekod, Tabung Harapan yang dilancarkan awal Jun lalu berjaya mengutip lebih RM140 juta setakat 3 petang Khamis.

Jumlah sumbangan berkenaan diumumkan melalui laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhan tabung itu membolehkan kementerian berkenaan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat dengan cara yang lebih sistematik dan telus.

Tags / Kata Kunci: Tabung Harapan , KPM , Dr Maszlee Malik
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan