Beku akaun: "Kalau salah bawa ke mahkamah" - Tun M - Berita Semasa | mStar

Beku akaun: "Kalau salah bawa ke mahkamah" - Tun M

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2018 12:51 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan tindakan pembekuan akaun bank peribadi anak dan cucu Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bermotifkan dendam.

Dr Mahathir mendakwa, bekas perdana menteri itu pernah melakukan perkara sama ke atas beliau dan rakan-rakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Yana Najib anggap beku akaun dendam kerajaan Malaysia baharu

"Kita nak balas dendam apa? Yang dia buat dulu lebih daripada itu pun, kita tak 'complaint' (merungut).

"Semua kawan-kawan saya semua dihalau, tak bagi berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka telah dilakukan, tak ada rungutan, kita tak ada merungut.

"Ini kononnya tuduhan, apa nak tuduh? Dia boleh tuduhlah, dia salah.

"Kalau dia kata ini salah, dia boleh bawa perkara ini ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Jumaat.

Najib mendukung cucunya. -Instagram @yananajib

Perdana menteri berkata demikian ketika mengulas pertanyaan mengenai tindakan pembekuan akaun bank keluarga Najib yang didakwa anaknya sebagai balas dendam daripada kerajaan hari ini.

Sebelum ini, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa pada Khamis mendakwa ada pihak mengarahkan pihak bank untuk membekukan akaun peribadi beliau dan anaknya yang berusia 10 bulan.

Dakwa Nooryana Najwa, akaun bank anaknya itu hanya mengandungi wang berjumlah RM100 untuk menyimpan duit raya yang pertama kali diterima bayi itu.

Nooryana Najwa yang juga dikenali sebagai Yana mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang dianggap bersifat berdendam terhadap keluarganya.

Dilaporkan, Nooryana Najwa dan adiknya Norashman membayar jaminan sebanyak RM500,000 daripada RM1 juta di kaunter Maybank cawangan mahkamah jam 2.45 petang Rabu.

Baki sebanyak RM500,000 akan dilunaskan pada Isnin depan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta dikenakan terhadap Najib dengan dua orang penjamin serta beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik dan pasport awam.

Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Tun M , beku akaun
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan