Zakir Naik tak dihantar pulang - Berita Semasa | mStar

Zakir Naik tak dihantar pulang

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2018 9:42 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India.

Beliau turut menafikan laporan portal berita mengenai usaha untuk menghantar pulang Zakir ke negara asalnya.

"Ia tidak benar. Dia tidak akan dihantar pulang ke India malam ini (semalam)," katanya ketika dihubungi.

Namun, sebuah portal berita memetik peguam Zakir, Shaharuddin Ali sebagai berkata kliennya tidak menerima sebarang notis penghantaran pulang.

Sebuah portal berita India, timesnownews.com melaporkan Zakir akan dihantar pulang ke India tetapi turut dinafikan Shaharuddin.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi pertubuhannya Islamic Research Foundation, Zakir menyifatkan dakwaan dia akan pulang ke India sebagai tiada asas dan tidak benar.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: Zakir Naik , India
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan