"Mungkin panik, bayi disorokkan" - jiran - Berita Semasa | mStar

"Mungkin panik, bayi disorokkan" - jiran

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2018 12:50 PM

Media berkumpul di hadapan rumah suspek.

(Ubah saiz teks)

SELAYANG: "Suspek tak menunjukkan perlakuan pelik dan menjaga anak angkat yang merupakan OKU dalam keadaan baik," kongsi seorang jiran kepada pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, 5 bulan.

Bayi tersebut ditemui mati dalam peti sejuk rumah pengasuh itu kira-kira pukul 11 malam Selasa di Jalan Nakhoda Kiri Tiga selepas beberapa jam penularan kehilangannya di laman sosial facebook.

Lelaki 40-an itu berkata, pengasuh dan seorang lagi rakan perempuannya telah menyewa di rumah ibu mertuanya sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak melihat kes tersebut sebagai unsur dera sebaliknya mungkin kemalangan atau tersedak susu.

"Dia sanggup ambil anak angkat OKU untuk dijaga sejak kecil sampai umurnya lima tahun sekarang, mestinya dia ada perasaan belas.

"Mungkin dia panik jadi dia sembunyikan kematian bayi itu.

"Kalau nak kata hal dera tu mustahil juga sebab tak pernah dengar cerita tak baik mengenai suspek, nak dengar anak OKU tu menjerit pun tak pernah," katanya.

Tambahnya, rata-rata jiran mempercayai kejadian bayi tersebut dilarikan susulan terdapat beberapa kes pecah rumah kebelakangan ini.

"Mak mentua saya agak terkilan dengan kejadian ini kerana pengasuh tersebut sepatutnya memaklumkan kejadian kepadanya atau menghantar bayi tersebut ke hospital bukan menyembunyikannya.

"Difahamkan bayi tersebut baru dijaga pengasuh seminggu lalu. Sebelum ini pengasuh itu tidak bekerja hanya rakannya yang bekerja " katanya.

Seorang lagi jiran mahu dikenali Zulkifl, 56 berkata, dia menyangkakan orang ramai yang memenuhi rumah itu semalam untuk datang berhari raya.

"Ingatkan orang penuh sebab ada apa-apa majlis rupanya ada kes sampai satu Malaysia kena tipu ingat bayi diculik tapi kematiannya disorokkan.

"Walaupun duduk berjiran tapi kami tak rapat dan mereka hanya membuat hal sendiri mungkin disebabkan orang menyewa jadi tak bercampur masyarakat," katanya.

Tags / Kata Kunci: pengasuh , Adam Rayqal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan