Tiada yang lebih peramah, penyayang selain bapa - Yana Najib - Berita Semasa | mStar

Tiada yang lebih peramah, penyayang selain bapa - Yana Najib

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2018 8:25 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Susulan penahanan Datuk Seri Najib Razak petang Selasa, anak perempuannya Nooryana Najwa meluahkan perasaannya berhubung perkara itu di Instagram (IG) miliknya @yananajib.

Nooryana memuatnaik gambar bapanya yang sedang mendukung anaknya, Adam Razak sambil memandang gambar keluarga bapanya itu.

Dalam status di IG yang ditulis lewat malam Selasa, Nooryana meminta rakyat Malaysia meluangkan masa mengingati bapanya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang hari yang sama.

"Selama 42 tahun, beliau (Najib) memikirkan rakyat sebaik bangun tidur sehingga tidur malam semula. Marilah kita memikirkan tentangnya kali ini ketika beliau sangat memerlukan kita.

"Marilah kita ingati beliau buat sekali ini tatkala beliau amat memerlukan kita. Anda boleh mengaibkan seseorang tapi Allah tahu.

"Kalau ini boleh berlaku kepada pemimpin kita, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam kalangan kita, namun kami percaya Allah tidak tidur," tulisnya di paparan IG milik beliau.

Luahan hati Yana mengenai bapanya di IG miliknya.

Pada masa sama, Nooryana berkata tidak ada yang lebih peramah, menyayangi atau selembut bapanya yang disifatkan beliau sebagai seorang yang memiliki kekuatan emosi dan mental tinggi berbanding orang lain.

"Walaupun menghadapi ujian getir hari ini, beliau masih tersenyum, ketawa dan memeluk kami... beliau lebih risaukan keluarga berbanding diri sendiri," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu turut mencatat luahan hatinya berserta dengan hastag#freenajib #respectcivilliberties #thestruggleisreal #pray4dsn".

Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada pukul 2.35 petang Selasa.

Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman pada pagi Rabu.

Beberapa jam selepas ditahan, satu video mengenai luahan hati Najib dimuatnaik ke laman Twitter dan Facebook bekas perdana menteri itu.

Dalam video itu, Najib menerima hakikat bahawa beliau tewas dan akur keputusan rakyat.

Malah, beliau turut memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Yana Najib , Najib Tun Razak , mahkamah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan