KTMB tak mahu ada lantikan politik - Berita Semasa | mStar

KTMB tak mahu ada lantikan politik

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2018 3:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) menggesa kerajaan supaya tidak membuat lantikan politik  bagi jawatan anggota lembaga pengarah atau kakitangan dalam Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dilihat tidak berupaya membantu memperkasakan syarikat itu.

Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan berkata KTMB sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menguasai industri pengangkutan rel di negara ini dan rantau ASEAN, namun memerlukan golongan profesional dan berkeupayaan untuk mengurusnya dan bukannya individu yang mempunyai kepentingan politik.

“Kami mahu golongan yang dapat melihat potensi KTMB ini untuk berkembang dan boleh bersaing, malah mampu menjadi pengeluar aset kereta api seperti lokomotif untuk dipasarkan ke luar negara,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham pada Selasa.

Katanya, jika individu lantikan politik diletakkan dalam syarikat itu seperti yang berlaku sewaktu pentadbiran kerajaan sebelum ini, ia akan menyebabkan  KTMB tidak dapat berkembang dan meningkatkan perkhidmatannya seperti yang diharapkan pengguna.

Katanya, KTMB juga dilihat seperti telah ‘dianaktirikan' oleh kerajaan sebelum ini dan terbiar tanpa pembaharuan sekali gus menyebabkan syarikat itu terpaksa menggunakan aset-aset lama untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat.

Dalam taklimat selama setengah jam itu, Abdul Razak turut mengemukakan beberapa cadangan lain kepada anggota majlis antaranya termasuk meletakkan Perbadanan Aset Keretapi di bawah KTMB untuk diuruskan oleh syarikat itu bagi menjana pendapatan menerusi aset-aset sedia ada.

Beliau turut mencadangkan agar peranan KTMB dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo ditingkatkan kerana potensinya yang lebih menguntungkan jika dibandingkan dengan perkhidmatan kargo yang lain yang ditawarkan menerusi laut dan udara.

“Kami juga mencadangkan jika kerajaan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan apabila siap nanti mungkin boleh diberikan pengendaliannya kepada KTMB kerana kami  mempunyai kemahiran dan pengalaman kerana sudah lama wujud di negara ini,” katanya.

Ditanya tentang maklum balas anggota CEP terhadap cadangan itu,  Abdul Razak berkata mereka dilihat positif dan beliau yakin kerajaan juga mahu melihat KTMB berkembang lebih maju pada masa akan datang.- Bernama

Tags / Kata Kunci: KTMB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan