Saya tak berhutang hingga sanggup 'jual' anak - Berita Semasa | mStar

Saya tak berhutang hingga sanggup 'jual' anak

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2018 7:19 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki 41 tahun, menafikan mereka terhutang budi sehingga menyerahkan anaknya untuk berkahwin di usia muda.

Warga Thailand, Madroseh Romadsa, 49, dari Kampung Nara, memberitahu, dia tidak pernah berhutang dengan menantu, Che Abdul Karim Che Hamid, sepanjang mengenalinya sejak 20 tahun lalu.

Katanya, tuduhan mengenai dia sekeluarga berhutang dan terhutang budi sehingga 'menjual' anak adalah tuduhan tidak berasas.

"Kenapa saya perlu menjual anak sekiranya berhutang? Lebih baik saya lari ke Thailand sekiranya betul saya mahu lari dari hutang.

"Saya terkilan bila ada tuduhan begitu kerana mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Tiada paksaan ataupun agenda lain," katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Panggung Lalat, di sini, pada Isnin.

Tambah Madroseh, dia dan isteri, Ameenoh Hitae, 47, bersetuju dengan lamaran menantunya apabila Che Abdul Karim, menyatakan kesungguhan untuk menjadikan Masaryu (Ayu) sebagai isteri.

Sementara itu, Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kerajaan perlu meneliti dengan baik kes melibatkan pernikahan lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, ini kerana ia melibatkan kesahihan dari sudut agama dan perundangan negara.

"Kerajaan diharapkan dapat mengambil perhatian dalam kes ini kerana mungkin ramai lagi yang berada dalam situasi ini tanpa kita ketahui.

"Begitu juga dengan spekulasi tular dimana ia patut dihentikan kerana boleh mengundang pelbagai sisi negatif tanpa mengetahui kebenaran," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi keluarga berkenaan di kediaman mereka di Kampung Panggung Lalat, Isnin.

Tambahnya lagi, setelah mendapat maklumat terperinci daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia membuktikan tiada paksaan dalam pernikahan berkenaan.

"Hentikan segala spekulasi kerana ia boleh membawa kesan yang tidak baik di kalangan masyarakat," katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: kahwin poligami
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan