Xavier pemimpin disegani, berjiwa rakyat - Berita Semasa | mStar

Xavier pemimpin disegani, berjiwa rakyat

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2018 12:48 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Anggota Parlimen Kuala Langat daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar yang dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli baharu adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat yang disegani semua pihak terutama di kawasan Klang.

Doktor gigi berusia 65 tahun itu menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael, Ipoh, Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading di College of Dental Surgery, Manipal, India dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pembedahan Pergigian (Bachelor of Dental Surgery).   

Dalam arena politik pula, Naib Presiden PKR yang menetap di Klang itu mula menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, Selangor dengan majoriti 10,203 undi.   

Beliau kemudian dilantik sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menjaga hal ehwal Kesihatan dan Pekerja Ladang ketika zaman pentadbiran bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2008.   

Sekali lagi, beliau mempertahankan kerusi DUN Seri Andalas yang kini ditukar nama DUN Sungai Kandis hingga PRU13 pada 2013.

Pada PRU14 9 Mei lepas, Dr Xavier beliau yang bertanding di Parlimen Kuala Langat buat pertama kali memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,112 undi menewaskan calon BN, Shahril Sufian Hamdan dan calon PAS, Datuk Dr Yahya Baba.

Beliau yang mempunyai tiga anak turut terlibat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan serta menjawat beberapa jawatan penting dalam badan bukan kerajaan termasuk menjadi anggota seumur hidup dalam Kelab Rotary di Klang dan Pengerusi Educational Welfare Research Foundation Klang mulai 1993-1998.  

Mula menceburi politik pada 1998, beliau sangat lantang bersuara mengenai isu penstrukturan air di Selangor ketika menjadi Exco dan pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Mentah Selangor sejak 2014. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Xavier Jayakumar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan