Pengurangan besar hutang kerajaan beberapa bulan lagi -PM - Berita Semasa | mStar

Pengurangan besar hutang kerajaan beberapa bulan lagi -PM

Diterbitkan: Khamis, 28 Jun 2018 5:30 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan menaruh harapan pengurangan besar jumlah hutang negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sejak menyandang jawatan perdana menteri, kerajaannya telah membatalkan banyak projek yang menelan kos tinggi yang menyumbang kepada keseluruhan pengurangan hutang itu.

"Usaha mengurangkan hutang adalah satu tugas yang sukar, tetapi kami telah membatalkan banyak projek yang melibatkan kos tinggi,” katanya pada majlis makan tengah hari Dewan Perniagaan Amerika Malaysia, di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata usaha kerajaan menambah baik keadaan kewangan dan ekonomi negara itu tidak diterima dengan positif oleh pelabur asing yang membawa kepada pengaliran keluar modal.

"Kadang-kadang, saya rasakan pasaran lebih suka dibohongi betapa bagusnya kami daripada mengetahui tentang kebenaran sebenar,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan dengan sendiri tidak boleh menjana kekayaan, tetapi sekiranya diperkayakan menerusi pengumpulan cukai daripada masyarakat yang sangat makmur, maka negara akan menjadi lebih baik.

Beliau berkata kerajaan juga mahu menggalakkan pelaburan langsung asing bagi industri teknologi tinggi bagi menangani isu penggangguran dalam kalangan lepasan ijazah.

Menurutnya, Malaysia adalah lokasi pelaburan yang baik dengan tenaga kerja mahir untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti.

"Kita boleh melatih rakyat Malaysia menghasilkan produk berkualiti tinggi yang boleh diterima pasaran dunia. Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menambah baik produktiviti di negara ini dan bukan hanya menumpukan semata-mata kepada meningkatkan paras pendapatan,” katanya.

Perdana Menteri menekankan tentang dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan serta perlunya ada kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta.

"Kita mahu bekerjasama rapat dengan sektor swasta, yang bermakna, sudah tentunya, kita boleh memanfaatkannya,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan terbuka untuk menerima idea dan komen membina daripada sektor swasta bagi membantu menambah baik proses penyampaian perkhidmatan sektor awam.

"Saya beri jaminan bahawa apabila dikritik atau diberi tahu yang kami melakukan suatu yang salah, kami akan melakukan yang terbaik untuk membetulkannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk memudahkan pertumbuhan sektor swasta yang merupakan enjin pertumbuhan negara.

Tags / Kata Kunci: hutang , Tun Mahathir
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan