Tiada tindakan mahkamah untuk penari depan masjid - Berita Semasa | mStar

Tiada tindakan mahkamah untuk penari depan masjid

Diterbitkan: Isnin, 25 Jun 2018 4:18 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa pelancongan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pelancong yang telah menari di hadapan masjid baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Christina Liew berkata mereka telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes di mahkamah kerana percaya pelancong tersebut tidak menyedari tindakan mereka itu.

"Tetapi kami mahu mengenal pasti dan mendenda mereka supaya kami dapat menjelaskan sesuatu yang mereka anggap sebagai 'keseronokan' itu sebenarnya tidak sopan dan tidak sepatutnya berlaku di Sabah, terutamanya di tempat ibadat," katanya semasa ditemui di satu majlis pada Isnin.

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata mereka juga akan mendenda agensi pelancongan yang membawa para pelancong ke masjid pada hari itu.

Beliau berkata mereka ingin mengetahui mengapa pelancong dibenarkan untuk menari di hadapan masjid, dan sama ada mereka telah diberi taklimat mengenai  lawatan di tempat itu.

"Kami ingin mengingatkan dan memberi amaran kepada semua pengendali pelancongan untuk memaklumkan pelanggan mereka supaya tidak bertindak dengan tidak senonoh di tempat suci, semua tempat ibadat dan di Sabah," kata Liew.

Beliau berharap insiden seperti itu tidak akan berulang.

Pada Ahad, sebuah klip video menjadi tular apabila  dua wanita, dipercayai sebagai pelancong, menari dan bertindak "tidak hormat" di hadapan bangunan ikonik, yang merupakan tempat pelancongan yang popular, menyebabkan timbulnya kemarahan netizen.

Pihak pengurusan masjid di bandar kemudian mengeluarkan larangan sementara untuk pelawat dan kenderaan ke kawasan itu, kecuali untuk teksi yang didaftarkan dengan mereka.

Tags / Kata Kunci: Menari , depan masjid , pelancong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan