Tindakan parti komponen tinggalkan Umno perkara serius - Berita Semasa | mStar

Tindakan parti komponen tinggalkan Umno perkara serius

Diterbitkan: Ahad, 24 Jun 2018 8:51 PM

 Tenkgu Razaleigh Hamzah
(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memandang serius tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan gabungan itu tanpa ada sebarang perbincangan di antara pemimpin-pemimpin komponen parti dalam BN.

Beliau berkata ia diburukkan lagi dengan tindakan wakil rakyat Umno sendiri yang keluar dari parti itu seolah-olah mereka bebas membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepimpinan tertinggi parti.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku....patut buat mesyuarat tapi kita tak ada dengar tentang mesyuarat antara para pemimpin parti-parti komponen BN untuk bercakap soal masa depan BN lepas kalah dalam Pilihanraya Umum ke 14 baru-baru ini.

"Tiba-tiba kita dengar parti itu parti ini keluar daripada BN.....memang dia ada hak nak menarik diri tapi sekurang-kurangnya perlu ada perbincangan.... hari ni wakil rakyat dari Umno sendiri keluar dari parti.

"Ini perkara serius, takkan kita nak biar perkara ini dibiarkan berterusan. Mesti kita nak bincang dan tengok apakah masalah yang dihadapi oleh mereka kerana mereka adalah wakil rakyat kita, mewakili beribu-ribu pengundi bawa suara Umno, perjuangan Umno... takkan nak berpeluk tubuh biarkan orang memutuskan sikap (keputusan) sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra bersama pemimpin Umno Terengganu di sini Ahad.

Parti Gerakan dua hari lepas mengumumkan keputusan untuk keluar daripada BN untuk memfokuskan hala tuju baharu sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan.

Manakala anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Ahad mengumumkan keluar Umno dan BN untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang dalam pada itu berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ada pihak tertentu ketika ini sedang cuba mempengaruhi 53 wakil rakyat Umno yang menang pada PRU 14 untuk keluar parti.

Ditanya sama ada beliau sedia memberikan tempat kepada pesaingnya sekiranya menang sebagai presiden Umno pada pemilihan Sabtu ini, beliau berkata sedia bekerjasama dengan mereka untuk terus memperkasakan parti. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Gerakan , BN , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan