Umno perlu kikis imej samseng - Berita Semasa | mStar

Umno perlu kikis imej samseng

Diterbitkan: Ahad, 24 Jun 2018 9:08 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Umno perlu mengikis imej bongkak dan gangster untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat, kata Khairy Jamaluddin.

Calon Presiden Umno itu berkata budaya eksklusif, politik wang dan membuat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat, maknanya parti itu untuk orang tertentu sahaja seperti bangsawan dan elit.

"Ini yang membuatkan orang menyampah dengan Umno," katanya dalam satu temubual bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan pada Ahad.

Beliau berkata pemimpin Umno memperjuangkan bangsa tetapi kadang-kadang ucapan yang dibuat terlalu rasis dan menguris hati orang lain.

"Kita buat kenyataan seksis yang merendahkan martabat wanita. Kita ingat buat lawak tetapi orang marah," katanya.

Susulan itu, Khairy berkata Umno perlu mengikis persepsi bahawa pemilihan Umno kotor, politik wang, serangan peribadi dan akan pecahkan parti.

"Kita kena buktikan kepada rakyat bahawa budaya itu tidak lagi ada," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata presiden harus menunjukkan teladan yang baik dengan menegur pemimpin atau ketua bahagian yang mengeluarkan kenyataan berbentuk samseng dan mencetuskan kemarahan rakyat.

"Kita kena ada disiplin yang kuat daripada Presiden untuk memastikan tidak ada lagi tanggapan seperti ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Khairy Jamaluddin , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan