Keputusan Ketua Wanita Umno Kulim-Bandar Baharu ditangguh, ada bantahan - Berita Semasa | mStar

Keputusan Ketua Wanita Umno Kulim-Bandar Baharu ditangguh, ada bantahan

Diterbitkan: Ahad, 24 Jun 2018 3:06 PM

Noorsabrina Mohd Noor.

(Ubah saiz teks)

KULIM: Keputusan pemilihan Ketua Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu ditangguh selepas menerima bantahan, kata Pengerusi Pemilihan Umno Wanita Kulim-Bandar Baharu Abdul Ghani Hassan.

Beliau berkata calon Datuk Noorsabrina Mohd Noor membuat bantahan terhadap keputusan yang memihak kepada penyandang Nazira Abd. Rahim selepas terdapat lebihan undi apabila keputusan diumumkan kira-kira 11 malam tadi.

"Pihak kami mengakui terdapat lebihan undi di mana perwakilan yang layak mengundi adalah 277 orang tetapi jumlah undian adalah 286.

"Jadi, sekarang berada dalam tempoh bantahan dengan ketetapan tempoh adalah sehingga 30 Jun ini walaupun tempoh sebenarnya ialah selama enam bulan memandangkan pemilihan Umno pusat akan diadakan pada 30 Jun ini," katanya.

Katanya keputusan malam tadi menyaksikan Nazira mendapat 140 undi manakala Noorsabrina mendapat 133 undi dengan 13 undi rosak dan kedua-dua calon juga tidak menandatangani pengesahan keputusan.

Sementara itu, Noorsabrina yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu semasa dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata, "Terdapat kertas undi lebih dan saya mohon undi semula". - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pemilihan Umno 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan