Sempat amanahkan hamster kepada adik - Berita Semasa | mStar

Sempat amanahkan hamster kepada adik

Diterbitkan: Ahad, 24 Jun 2018 8:16 AM

Mohammad Affiq Afnan Abdul Razaaq, 9, kanak-kanak yang lemas ketika mandi bersama enam rakannya di sebuah kawasan bekas lombong di Taman Suria dekat Johor Bahru, Sabtu. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Mohammad Affiq Afnan Abdur Razaaq, kanak-kanak yang lemas ketika mandi bersama enam rakannya di sebuah kawasan bekas lombong di Taman Suria, di sini, Sabtu sempat mengamanahkan hamster peliharaannya kepada adiknya untuk dijaga.

Bapa angkat Allahyarham, Shamsuddin Abdullah, 47, berkata, biasanya anaknya itu sukar berkongsi barangan dengan adik beradiknya yang lain.

Shamsuddin berkata, namun pagi Sabtu, perubahan sikap Allahyarham yang tiba-tiba mengamanahkan hamster yang diperoleh daripada ibu saudaranya kepada adik bongsunya mencuri tumpuan beliau dan isteri tetapi mereka tidak berkata apa-apa.

"Biasanya arwah jenis susah memberi barangan kepada orang, apatah lagi dia telah berebut hamster berkenaan dengan adik-adiknya yang lain malam semalam.

“Tetapi tiba-tiba dia berbuat demikian, siapalah sangka ini merupakan satu petanda,” kata Shamsuddin yang ditemui pemberita di tempat kejadian, Sabtu malam.

Menurutnya, Allahyarham anaknya itu merupakan anak kelima daripada enam adik beradik dan menjadi anak angkatnya sejak kecil.

Ketika berumur tujuh tahun pula, Allahyarham dikesan hyperaktif menyebabkan dia tergolong dalam  kumpulan orang kurang upaya (OKU).

“Disebabkan keadaannya itu, dia selalu bermain dengan anak-anak jiran di kawasan blok rumah kami iaitu di Pangsapuri Kampung Desa Hajah Hasnah, Bakar Batu.

“Tetapi, hari ini dia tiba-tiba di sini, saya pun terkejut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Sabtu, Mohammad Affiq Afnan, 9, bersama enam rakannya mandi di kawasan itu sebelum hilang bersama seorang daripadanya iaitu Norfifi Alisha Natalia Afidan Shah, 12.

Mayat Norfifi Alisha Natalia ditemui pasukan penyelamat pada 6.26 petang manakala Mohammad Affiq Afnan, pada 8.30 malam, di tepi lombong berkenaan.

Lima yang selamat pula, adik kepada Norfifi Alisha Natalia iaitu Mohd Danish Ashraf Afidan Shah, 10; serta empat rakan – Rizman Ismail, 13;  Ghismawi Ismail, 9; Muaz Ibrahim, 9; dan Mohd Danish Omar, 10. - Bernama

Tags / Kata Kunci: hamster
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan