Shahrizat undur diri dari politik selepas 39 tahun - Berita Semasa | mStar

Shahrizat undur diri dari politik selepas 39 tahun

Diterbitkan: Sabtu, 23 Jun 2018 4:35 PM

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Jalil mengumumkan beliau undur diri selepas 39 tahun terlibat dalam politik.

Shahrizat berkata beliau telah melepaskan semua jawatan dalam parti dan menjadi ahli Umno biasa.

"Dalam politik, kita perlu sedar bila kita harus berundur.

"Saya berada dalam bidang ini sudah terlalu lama.

"Sudah tiba masanya untuk beri laluan kepada mereka yang lebih muda.

"Saya bekerja dengan ramai anggota Wanita dan ramai yang berkemampuan untuk menjadi ketua.

"Saya yakin saya tinggalkan sayap Wanita kepada calon terbaik," katanya kepada pemberita selepas membuat undian untuk memilih ketua-ketua tiga sayap iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.

Kata beliau, legasi yang ditinggalkannya adalah ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama 11 tahun dalam tempoh hampir empat dekad di dalam politik.

Menurut Shahrizat, antara pencapaian beliau adalah mendapatkan pindaan ke atas Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang diskriminasi jantina berlaku.

"Banyak undang-undang yang diaudit bagi memastikan hak dan kepentingan wanita dilindungi.

"Ia adalah sumbangan terbesar saya," tambahnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baharu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan berbangga dengan pencapaian pemimpin itu walaupun mereka berbeza parti politik.

Tags / Kata Kunci: Shahrizat Jalil
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan