Lavida Go Bola hangatkan Piala Dunia 2018 - Berita Semasa | mStar

Lavida Go Bola hangatkan Piala Dunia 2018

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2018 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas sambutan hangat single Lavida Raya, usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman melancarkan muzik video bagi memeriahkan Piala Dunia 2018 pula dan kali ini menampilkan lagu berjudul Lavida Go Bola.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau mendapat ilham untuk menghasilkan karya tersebut kerana menganggap lagu rasmi temasya empat tahun sekali ini tidak menyengat seperti edisi terdahulu.

"Saya terpanggil untuk buat lagu ini untuk memeriahkan Piala Dunia. Pada mulanya saya ingat lagu rasmi Piala Dunia 2018 sedap tapi bagi saya tak berapa menjadi.

"Jadi saya ambil kesempatan untuk memeriahkan temasya ini dengan lagu tema bola sendiri iaitu Lavida Go Bola," katanya kepada mStar Online sebelum majlis pelancaran lagu berkenaan yang diadakan di Ipoh pada Jumaat petang.

Untuk edisi Piala Dunia 2018, lagu 'Live It Up' nyanyian Will Smith, Nicky Jam dan Era Istrefi diangkat sebagai lagu rasmi kejohanan itu.

Lagu tersebut dicipta seorang DJ dari Amerika Syarikat, Diplo.

Malahan, pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu turut berharap agar single terbaharunya itu menjadi trending di seluruh dunia.

"Muzik video ini tiada banyak footage bola sebab ia bukan lagu rasmi. Namun saya harap lagu ini dapat diterima seluruh dunia," katanya.

Pada masa sama, Vida turut memasang angan-angan agar lagu ini dinyanyikan semasa aksi penutup kejohanan empat tahun sekali itu.

"Kalau ada luck, saya harap lagu ini akan dinyanyikan di upacara penutup Piala Dunia nanti.

"Walaupun Malaysia cuba membida untuk jadi tuan rumah Piala Dunia 2034, lagu ini ibarat mewakili negara ini," katanya.

Menerusi lagu genre catchy hasil ciptaan komposer dan penyanyi Cat Farish itu, Vida berduet bersama Mimi Fly.

Muzik video itu turut menampilkan dua anaknya, Cik B dan juga Kacak.

Terdahulu Vida turut memuat naik sedutan pendek muzik video tersebut untuk pengikutnya di Instagram, lima hari lalu.

Sehingga petang ini, sedutan pendek itu sudah mendapat hampir 1 juta tontonan dan 48,927 tanda suka di Instagram.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan