TRX tak perlu diselamat kerana boleh bawa untung - Najib - Berita Semasa | mStar

TRX tak perlu diselamat kerana boleh bawa untung - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2018 8:16 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Khamis berkata, projek Tun Razak Exchange (TRX) tidak perlu diselamatkan, sambil menambah bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng sendiri mengakui projek itu akan membawa keuntungan.

Dalam satu catatan di akaun Facebooknya, beliau berkata, pengambilalihan TRX City Sdn Bhd (TRXC), pemaju utama TRX oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dengan nilai nominal RM1 berkuatkuasa 31 Mac 2017, merupakan langkah penting dalam pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang lebih meluas.

"Selepas mengambil alih kedua-dua aset utama tersebut, MOF Inc kemudiannya mengambil alih liabiliti 1MDB tertentu mulai 1 April 2017, sebagai pertukaran pemindahan aset berkenaan.

"YB Lim sendiri mengakui bahawa walaupun dengan suntikan sebanyak RM2.8 bilion lagi oleh MOF Inc, projek TRX akan bernilai sekurang-kurangnya RM7.8 bilion dan menunjukkan keuntungan. Sudah tentu ia tidak boleh dipanggil usaha menyelamat jika wang itu diguna untuk menjana keuntungan," kata Najib.

Pada sidang akhbar Khamis, Lim berkata, Kabinet memutuskan untuk menyiapkan projek TRX dan sehingga RM2.8 bilion akan disuntik untuk memastikan ia siap.

Menteri itu juga berkata, projek itu boleh membawa sedikit keuntungan apabila siap dan mendapat balik RM3.7 bilion yang telah dibayar sebelum ini.

Najib berkata, Lim dengan mudah menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.7 bilion untuk projek TRX dan Bandar Malaysia, tetapi gagal untuk menonjolkan nilai aset tanah yang signifikan bagi kedua-dua projek, khususnya projek Bandar Malaysia.

"Jika dirancang, dipasar dan dibangunkan dengan betul, tanah Bandar Malaysia sahaja boleh bernilai RM30 bilion," katanya.

Lebih penting lagi, kata Najib, tiada wang dari TRXC yang disalahgunakan oleh 1MDB.

"Sepertimana yang diamalkan oleh banyak syarikat, kira-kira RM3 bilion pinjaman antara syarikat telah dibuat dari semasa ke semasa oleh TRXC kepada 1MDB.

"Semua ini (pinjaman) antara syarikat telah dibayar balik oleh 1MDB berkuatkuasa 31 Mac 2017 melalui gabungan pembayaran tunai dan dividen yang dibayar oleh TRXC kepada 1MDB.

"Pembayaran balik ini telah dilakukan dengan kelulusan MOF Inc dan telah dikaji dan ditandatangani dengan betul oleh juruaudit TRXC dalam penyata kewangan pada 31 Mac 2017.

"Oleh kerana TRXC dimiliki 100 peratus oleh 1MDB, yang mana ia 100 peratus milik MOF, sudah pasti 1MDB tidak boleh mencuri RM3 bilion daripada dirinya sendiri untuk membayar balik pinjamannya sendiri," katanya.

Najib berkata, beliau gembira kerana kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan projek TRX "yang akan membawa puluhan ribu pekerjaan baharu dan menubuhkan sebuah pusat kewangan bertaraf dunia di Kuala Lumpur."

Bagaimanapun, beliau menegur Lim kerana "menyebar separuh kebenaran dan pembohongan secara terang-terangan dalam kenyataannya hari ini mengenai TRXC", yang memiliki tanah 28.3 hektar bagi projek TRX dan 196.7 hektar bagi Bandar Malaysia.

Beliau mengingatkan Lim agar tidak membuat kenyataan yang tidak tepat sebagai sebahagian daripada "dendam politik Pakatan Harapan (PH) terhadap saya dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini."

"Bukan sahaja ia tidak profesional, ia menakutkan pelabur dalam pasaran mata wang, bon dan saham. Tentunya kesejahteraan ekonomi kita lebih penting daripada mengeluarkan kenyataan bermotif politik," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: TRX , Najib Tun Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan