MB baharu dilantik ikut undang-undang - Istana Selangor - Berita Semasa | mStar

MB baharu dilantik ikut undang-undang - Istana Selangor

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2018 10:48 AM

Sultan Sharafuddin mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Menteri Besar Selangor yang baharu Amirudin Shari pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Anggota Dewan Di Raja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Istana Selangor pada Rabu menjelaskan pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Amirudin Shari sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibuat bersandarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Menurut kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutus surat kepada Sultan Selangor pada 7 Jun lepas dengan mencalonkan tiga nama termasuk Amirudin, untuk diperkenan sebagai calon pilihan bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Besar Selangor.

"Di dalam surat itu juga, Dr Wan Azizah memohon perkenan Tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan Tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

“Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada Mohamed Azmin, maka Tuanku telah berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Amirudin yang juga Adun Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14," kata kenyataan itu. 

Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 di hadapan Sultan Selangor pada Selasa di Istana Alam Shah, Klang menggantikan Mohamed Azmin yang dilantik ke peringkat persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Kenyataan itu menyebut Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil maklum prasyarat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor di mana baginda hendaklah melantik seorang Adun sebagai Menteri Besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti dan syarat kedua, hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Adun Ijok, Dr Idris Ahmad daripada PKR sebelum ini dilapor mendakwa beliau merupakan satu-satunya calon dipersetujui oleh empat komponen parti Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan pencalonan Amirudin hanya mendapat restu Mohamed Azmin.

Dalam pada itu, kenytaaan itu turut menafikan dakwaan Dr Idris bahawa pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei lepas tidak mendapat restu daripada PH.   

Menurut kenyataan itu, sebelum pelantikan Mohamed Azmin, ketua-ketua parti komponen PH telah menghantar surat kepada baginda, mencalonkan Mohamed Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Pencalonan itu, menurut kenyataan itu, dibuat bersandarkan fakta bahawa Mohamed Azmin telah menjadi Menteri Besar sebelum ini dan telah menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan membawa PH memenangi kerusi yang lebih banyak semasa pilihan raya umum lepas.

"Oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok mengatakan bahawa beliau dicalonkan bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

"Pihak Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campur tangan di dalam isu-isu berkaitan politik," menurut kenyataan itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Amirudin Shari
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan