Bengah seminggu tanpa adik! - Berita Semasa | mStar

Bengah seminggu tanpa adik!

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2018 7:30 AM

Bengah (kiri) dan Afiatul. Foto Instagram makhlokmacho

(Ubah saiz teks)

JIKA tahun lepas personaliti media sosial ini ‘beraya’ di konti radio bersama adik istimewanya, di mana pula bagi Aidilfitri kali ini?

Selepas menamatkan zaman bujang akhir tahun lalu, Bengah, 31, nampaknya tidak sabar-sabar untuk menyambut 1 Syawal sebagai suami buat pertama kali.

Pemilik nama sebenar Hammad Zamakhashari Mohd Noor ini tidak mengalami dilema antara beraya bersama keluarga sendiri atau mertua.

“Raya tahun ini beraya seminggu di kampung isteri di Kuala Muda, Kedah. Tak ada giliran pun, Bengah yang sendiri pilih nak balik ke kampung isteri.

“Ada kampung di Perak sebelah keluarga Bengah, tapi sejak nenek dah meninggal, dah kurang beraya di sana. Saya dah bincang dengan keluarga saya, mereka semua okay,” katanya kepada mStar Online.

Bengah beraya di kampung keluarga isteri di Kuala Muda, Kedah.

Namun yang menjadi tanda tanya adalah adiknya, yang menghidap Sindrom Down, Afiatul Salsabiila, 19, yang sebelum ini tidak pernah berenggang dengannya.

Bengah berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana dia dan isteri menetap di rumah keluarga di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Tambahnya, ia bukan kali pertama dia berjauhan dengan Afiatul kerana sebelum ini pernah berkunjung ke Korea Selatan bersama isteri tanpa membawa adiknya itu.

Kasih dua beradik tidak berbelah bahagi.

“Afiatul tu mungkin okay, tapi mesti dia terasa sebab Bengah tak ada lebih seminggu. Ini kali pertama Afiatul merasai suasana raya tanpa Bengah.

“Saya pertama kali beraya di kampung isteri. Jadi, saya dan Afiatul akan merasai pengalaman pertama bagi raya kali ini. InsyaAllah Afiatul okay.

“Cuma nanti dia mungkin tanya adik-beradik lain, tanya mak mana Bengah. Masa pergi Korea pun dia tanya, sampai masa balik, Afiatul terus peluk Bengah. Sayang betul Afiatul kat abang dia,” kata Bengah yang merupakan penerima Anugerah Personaliti Media Sosial pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 30 (ABPBH30).

Pada Disember lalu, Bengah yang digelar sebagai ‘Abang Yang Penyayang’ menerusi akaun Instagram ‘Makhlokmacho’ diijabkabulkan dengan Nur Mahfuzah Zulkifli, 29, selepas setahun pasangan itu menyulam cinta.

Bengah menyambut 1 Syawal bersama isteri buat kali pertama.

Menurut Bengah, antara perkara yang tidak sabar ditunggunya pada hari lebaran ini adalah kuih Sarang Semut kegemaran hasil air tangan isterinya.

“Sebenarnya masa kami bercinta pun, dia buat juga untuk saya. Semuanya bermula bila Bengah selalu buat request (permintaan) nak kuih Sarang Semut di media sosial.

“Jadi dia pun buat untuk Bengah. Saya tak suruh pun, tapi dia sendiri nak buat. Pandai dia ambil hati Bengah masa bercinta, dah kahwin ni lagi lah kena buat untuk suami kan,” katanya secara berseloroh mengenai isterinya yang dikenali sebagai Cik Bunge di media sosial.

Raya tahun lalu, Bengah dan Afitul sebenarnya menerima jemputan daripada sebuah stesen radio untuk menyertai program sempena Aidilfitri.

Tags / Kata Kunci: Bengah , Afiatul
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan