Nik Faisal kini di Indonesia - Berita Semasa | mStar

Nik Faisal kini di Indonesia

Diterbitkan: Rabu, 20 Jun 2018 12:53 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Nik Faisal Ariff Kamil, kunci utama kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bebas keluar masuk Indonesia sejak tiga tahun lalu, kata sumber.

Ia berlaku meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan namanya dalam senarai individu dikehendaki dalam siasatan 1MDB dan SRC International sejak Julai 2015.

"Dia berada di Indonesia sejak skandal 1MDB dan SRC terbongkar. Namun dia masuk dan keluar dari negara itu dan sering berhubung dengan seseorang yang rapat dengannya," kata sumber.

Bekas pengarah urusan SRC itu mempunyai hubungan keluarga di Indonesia menerusi isterinya yang juga warganegara Indonesia yang dikahwininya tiga tahun lalu.

Malah lelaki berusia 47 tahun itu mengamalkan gaya hidup mewah dan menunjukkan perubahan dalam tabiat berbelanja bahkan turut mengejutkan teman rapatnya, kata sumber.

"Ramai rakan-rakannya tiba-tiba terkejut melihat perubahan besar dalam gaya hidupnya dan tidak tahu bagaimana dia memperoleh kekayaannya, " kata sumber yang rapat dengan Nik Faisal.

Nik Faisal turut meminati bola sepak dan pergi ke Brazil pada 2014 untuk menyaksikan Piala Dunia selama sebulan.

Bekas anak syarikat 1MDB, SRC International memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Baru-baru ini, SPRM dalam satu kenyataan menggesa Nik Faisal supaya tampil segera menghubungi agensi terbabit bagi membantu siasatan kes berkaitan SRC.

Tags / Kata Kunci: Nik Faisal , SRC , 1MDB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan