Najib bakal berdepan pelbagai tuduhan - Tun M - Berita Semasa | mStar

Najib bakal berdepan pelbagai tuduhan - Tun M

Diterbitkan: Rabu, 20 Jun 2018 7:55 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berdepan pelbagai tuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"(Tuduhan tersebut termasuk) penggelapan, mencuri wang kerajaan, kehilangan wang kerajaan, menggunakan wang kerajaan untuk melakukan sogokan dan beberapa tuduhan lain," katanya kepada Reuters.

Dr Mahathir berkata penyiasat sudah ;mempunyai kes yang hampir sempurna' terhadap kontroversi skandal berkenaan.

"Dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB.

"Tiada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya, dan kami mempunyai tandatangannya pada semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB. Oleh itu, dia bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat berkaitan skandal 1MDB.

"Beberapa wang dipercayai disalurkan kepadanya, banyak wang.

"Kami tahu tentang ini tetapi mencari jejak kertas agak sukar dalam kes ini kerana dia tidak menandatangani mana-mana surat. Najib menandatangani banyak surat," katanya.

Dr Mahathir berkata penyiasat amat teliti kerana kerajaan tidak boleh kalah dalam kes itu sebaik sahaja ia dibawa ke mahkamah.

"Apabila kita pergi ke mahkamah, kita akan mempunyai bukti yang jelas mengenai salah laku itu. Kita tak boleh kalah," katanya.

Kontroversi 1MDB mula menjadi perhatian ramai sejak 1 Mac 2015 apabila sebuah syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International menafikan dakwaan semua wang yang diperuntukkan kepada 1MDB telah disalurkan ke syarikat itu, berdasarkan laporan Sarawak Report.

Sebuah pasukan khas kemudiannya ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan itu.

Ia kemudian disusuli laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan, hasil siasatan mendapati, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah derma yang disumbangkan pihak tertentu yang tidak didedahkan.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan susulan kemenangannya dalam PRU14 lalu, Dr Mahathir membuka semula siasatan ke atas 1MDB dan pembabitan Najib di dalamnya.

Ekoran itu, Najib dilarang meninggalkan negara dan polis juga sudah menjalankan serbuan ke atas hartanah yang dikaitkan dengan beliau.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , 1MDB , Rosmah Mansor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan