OK siar debat calon Presiden Umno - Gobind - Berita Semasa | mStar

OK siar debat calon Presiden Umno - Gobind

Diterbitkan: Rabu, 20 Jun 2018 7:50 PM

GOBIND

Gobind Singh Deo. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Debat antara calon-calon Presiden Umno, sekiranya ia berlaku, hanya boleh disiarkan oleh RTM.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, beliau sedia meminta RTM untuk menyiarkan debat tersebut, sekiranya ia berlaku dan calon-calonnya mahu satu platform untuk perdebatan itu.

"Terpulang kepada mereka untuk mengambil cabaran debat berkenaan, tetapi sekiranya mereka memerlukan platform, saya akan membawa perkara itu untuk perhatian RTM," katanya ketika ditanya mengenai perkara tersebut pada sidang media, Rabu.

Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan salah seorang calon Presiden Umno berkata, beliau sanggup berdebat dengan pencabarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin sebelum pemilihan parti, 30 Jun ini.

Terdahulu pada Rabu, Khairy mengalu-alukan cabaran itu, mengatakan bahawa debat tersebut sesuatu yang sihat dan baik untuk proses demokrasi.

Ahad lalu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan tujuh nama telah diserahkan untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, beliau hanya mengesahkan tiga individu iaitu Khairy, Tengku Razaleigh dan Ahmad Zahid.

Ab Rauf berkata, Umno akan mengumumkan nama-nama yang lain kemudian.

Tags / Kata Kunci: Gobind Singh Deo , RTM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan