Akta Anti-Berita Tidak Benar perlu dibatalkan tapi.... - Berita Semasa | mStar

Akta Anti-Berita Tidak Benar perlu dibatalkan tapi....

Diterbitkan: Rabu, 20 Jun 2018 11:59 AM

Lim Kit Siang.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Akta Anti-Berita Tidak Benar yang diluluskan dua bulan lalu perlu dibatalkan, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Kita perlu memansuhkan akta tersebut kerana ia diluluskan bukan untuk memerangi berita palsu tetapi melindungi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Kit Siang mendakwa akta tersebut diluluskan sebagai 'alat penindasan untuk membendung berita berkaitan skandal 1MDB.'

Namun, beliau berkata terdapat keperluan untuk memerangi berita palsu sama ada di media sosial atau yang disiarkan dalam media arus perdana.

Pada Selasa, Kit Siang berkata Malaysia memerlukan undang-undang anti-berita palsu tetapi ia mesti dibangunkan oleh media dan masyarakat, lapor portal The Malaysian Insight.

Portal itu memetik Kit Siang sebagai berkata beliau menyokong undang-undang seperti itu tetapi membantah undang-undang yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia bukan untuk kepentingan rakyat.

Kit Siang berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke pejabat akhbar Tamil Malar di Kuala Lumpur, Selasa.

Pada Rabu, Kit Siang sekali lagi menggesa pakar undang-undang, pengamal media dan masyarat menilai semula isu berita palsu untuk mengenal pasti sama ada terdapat keperluan mewujudkan undang-undang baharu atau sama ada undang-undang sedia ada boleh dipinda.

Beliau turut menafikan gesaannya agar berita palsu diperiksa merupakan u-turn oleh Pakatan Harapan dengan memetik komentar dalam sebuah akhbar bahasa Melayu sebagai satu contoh berita palsu.

Penulis komentar tersebut mendakwa DAP mahu menghapuskan institusi diraja.

Tags / Kata Kunci: Akta Anti-Berita Tidak Benar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan