“Dah bayar tapi belum maklum lagi” - Ravi - Berita Semasa | mStar

“Dah bayar tapi belum maklum lagi” - Ravi

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 5:51 PM

Rayani Air.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air sebelum lesen penerbangannya dibatalkan pada 2016, Ravi Alagendrran berkata, beliau belum memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai pembayaran tunggakan gaji yang telah dibuat kepada sebahagian bekas pekerjanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air Sdn Bhd memberitahu, perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada minggu depan.

“Saya juga akan meminta pekerja saya untuk menghantar salinan bayaran gaji kepada pekerja (yang telah menerima bayaran) menerusi emel. Pekerja saya sedang cuti raya,” katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi mudah alih, WhatsApp pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) supaya pengurusan Rayani Air memaklumkan kepada JTK dan Mahkamah Perusahaan sekiranya terdapat bayaran tunggakan gaji yang dibuat kepada bekas pekerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan Rayani Air perlu langsai ‘hutang’ ikut prosedur - Nufam

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menyepi, tiba-tiba Rayani Air buat kejutan ‘raya’

Ditanya sebab tidak memaklumkan kepada JTK terlebih dahulu, Ravi berkata, pembayaran tunggakan gaji dibuat pada saat akhir sebelum Aidilfitri. 

Ravi Alagendrran.

Mengenai tuntutan terhadapnya di Mahkamah Perusahaan, Ravi berkata, beliau akan menyelesaikan isu bayaran tunggakan gaji di JTK terlebih dahulu.

“Minggu depan akan saya maklumkan kepada pejabat buruh (JTK). Saya akan beri senarai nama kakitangan yang sudah dibayar.

"Saya akan maklumkan JTK sebab semuanya membuat laporan kepada JTK. Saya akan pergi bersama peguam saya, uruskan di sana dahulu,” katanya.

Pada Isnin, Nufam dalam satu kenyataan menyifatkan pengurusan Rayani Air cuba mengelak daripada tindakan undang-undang dengan membuat bayaran tetapi ia hanya mengelirukan bekas pekerja tanpa surat rasmi berhubung bayaran tunggakan.

“Semua bayaran hutang gaji harus dibuat secara bertulis kepada (bekas) pekerja. Jangan pakai masuk amaun dan duit sedangkan pekerja pun tidak tahu berapa bayaran tersebut yang sebenar.

“Dengan membuat kenyataan melalui akaun Facebook milik Ravi atau media tidak mencukupi untuk menyelesaikan krisis pekerja Rayani Air,” menurut kenyataan itu.

Selain gaji, menurut Nufam, terdapat bekas pekerja Rayani yang masih menunggu bayaran tunggakan gaji termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sabtu lalu, mStar Online melaporkan ratusan bekas kakitangan Rayani Air dikejutkan dengan 'duit raya' yang diterima daripada syarikat penerbangan itu selepas ia 'berkubur' sejak dua tahun lalu. 

Ravi berkata, bayaran tunggakan gaji dibuat kepada 303 kakitangan bagi Mac 2016 sehingga 10 April 2016 kerana Rayani Air menghentikan operasi pada 8 April 2016. 

Bayaran yang dibuat kepada kira-kira 303 bekas kakitangan di mana sebahagiannya merupakan pemegang akaun Public Bank yang aktif, hanya melibatkan gaji pokok.

Tambah Ravi, baki kira-kira 123 bekas kakitangannya yang lain masih belum menerima bayaran tunggakan gaji.

Tags / Kata Kunci: Ravi Alagendrran , Rayani Air , Nufam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan