Putrajaya kebanggaan Malaysia! - Berita Semasa | mStar

Putrajaya kebanggaan Malaysia!

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 4:22 PM

Pejabat Perdana Menteri.

(Ubah saiz teks)

PUSAT pentadbiran persekutuan Malaysia, Putrajaya, boleh dikatakan sebagai salah sebuah bandar paling cantik di dunia.

Berkonsepkan 'bandar pintar dalam taman', lokasi bertaraf dunia ini dibina untuk menjadi kawasan paling diimpikan di Malaysia yang memaparkan kecanggihan bangunan kerajaan, pejabat, kompleks komersial dan perumahan moden yang dikelilingi taman dan tasik serba indah.

Sebagai sebuah projek pembangunan yang menjadi penanda aras, pemajunya Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) bekerja keras untuk merealisasikan apa yang telah dirangka.

Ditubuhkan pada 1995, PJH mempunyai satu misi iaitu untuk mereka, melaksana dan membangunkan pelan strategik 20 tahun Putrajaya.

Sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat, beliau berusaha untuk mewujudkan bandar pentadbiran kerajaan persekutuan bagi menangani masalah kesesakan pembangunan bandar di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah PJH Datuk Azlan Abdul Karim berkata, Putrajaya sejak itu membina reputasi sebagai sebuah bandar mewah yang mana rumah dan pejabat direka dengan keselesaan dan berkualiti tinggi.

"Dari segi perancangan, kami tahu bahawa kami ingin memberikan rakyat Malaysia sebuah bandar cantik yang boleh dibanggakan, tetapi lebih penting lagi, ia akan menjadi hab kosmopolitan yang menawarkan kualiti hidup tinggi kepada penduduknya," ujar Azlan.

Pandangan atas Parcel F.

Untuk merealisasikan wawasan ini, kawasan itu dirancang penuh teliti serta sistematik oleh para jurutera, arkitek, pereka landskap dan pakar lain.

"Antara kebanggaan utama Putrajaya termasuklah Masjid Putra di Tasik Putrajaya, Jambatan Seri Wawasan, Dataran Putra, Boulevard, Putrajaya Wetlands, Kompleks Kementerian Kewangan, Perdana Putra dan Seri Perdana," tambahnya lagi.

Perdana Putra

Juga dikenali sebagai Pejabat Perdana Menteri, Perdana Putra didirikan di atas bukit setinggi 50 meter.

Ia dibina untuk menggambarkan kekuatan, kestabilan dan simetri serta dianggap sebagai nilai teras sebuah kerajaan yang baik.

Struktur granit yang berdiri ditanam teguh pada asas perimeter dua hektar yang stabil di tengah-tengah bukit, menggambarkan kepentingan asas yang kukuh untuk pentadbiran negara yang cekap.

Warna coklat dan hijau bangunan enam tingkat ini pula melambangkan keharmonian dan kepelbagaian serta pelengkap kepada persekitaran semulajadi.

Masjid Putra


Terkenal dengan warna merah jambu-gurun dan kubah yang indah, binaan ini diperbuat daripada gentian kaca bertetulang serta dihiasi jubin kaca berwarna merah jambu dan kuning.

Evolusi reka bentuk masjid di Malaysia dengan ilham seni bina Islam dan reka bentuk serta pertukangan tradisional jelas terpapar menerusi binaan majsid gah ini.

Terletak di Tasik Putrajaya, masjid ini boleh menampung 10,000 jemaah dalam ruangan utamanya.

Tasik Putrajaya

Tasik ini menjadi tumpuan orang ramai untuk berkumpul dan melakukan aktiviti sukan dan rekreasi.

Tasik buatan manusia itu dibina di Sungai Chua dan anak sungainya.

Salah satu ciri unik empangan kekal Tasik Putrajaya ialah reka bentuk labyrinth spillway (mata gergaji) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Jambatan Sri Wawasan


Sebagaimana namanya, jambatan ini mencerminkan visi yang jelas dan berani.

Jambatan kabel tunggal ini memiliki bentuk persis kapal layar.

Ia turut menjadi lambang pencapaian cemerlang Malaysia dalam reka bentuk jambatan dan kejuruteraan pembinaan.

Malah, ia siap dalam tempoh 34 bulan.

Kawasan perumahan

Bagi komponen kediaman, salah satu keunikannya merupakan binaan kediaman tidak berpagar.

"Sejak tahun 1960-an, rumah telah dibina dengan pagar untuk mengelakkan kecurian dan sebagainya. Namun, ia cenderung untuk mengasingkan keluarga dari satu sama lain.

"Dasar 'tidak ada pagar' bertujuan menghidupkan semula perasaan masyarakat yang telah ada di kampung lama sebelum ini.

"Ia adalah asas untuk memulihkan nilai-nilai perkongsian, kepedulian dan kepercayaan dalam persekitaran hidup yang mesra dan selamat," jelas Azlan lagi.

Ayer 8

Walaupun begitu, statistik jenayah di Putrajaya adalah salah satu yang paling rendah di negara ini.

Terdapat unit kediaman di 14 daripada 20 Presint dengan jumlah 77,000 unit, 52 peratus menempatkan kakitangan kerajaan manakala baki selebihnya akan dijual kepada pembeli swasta.

Pada masa ini, lebih dari 32,000 unit terdiri daripada banglo, apartmen berkembar, teres, rumah bandar dan rumah mampu milik telah siap dan diserahkan kepada pemiliknya.

Untuk mencerminkan tema bandar itu, Putrajaya menyediakan kawasan hijau yang luas di sepanjang jalan, taman-taman serta kawasan tanah lembap untuk meningkatkan keupayaan kejiranan.

New Haven.

"Kami kini memberi tumpuan kepada pembangunan komersial untuk menambah daya tarikan kepada Putrajaya dan secara agresif memperluaskan simpanan tanah kita di luar Putrajaya untuk memberi lebih banyak kepada rakyat Malaysia," kata Azlan.

PJH dijangka bakal melengkapkan Parcel F, sebuah pejabat kerajaan, menjelang akhir tahun ini.

Parcel F adalah projek pertama di Putrajaya yang menggunakan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) pada tahun 2012 merangkumi reka bentuk sehingga tahap Pengurusan Kemudahan (FM).

"Kami memulakan BIM untuk projek pembangunan kerajaan semasa dan terakhir kami, Parcel F. Reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan sedang dimodelkan menggunakan sistem ini yang akan membolehkan kita melihat kemajuan dalam format tiga dimensi (3D).

Parcel F dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula suku pertama 2019.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan