Cop kartun hanya untuk hiburkan kanak-kanak, bukan arahan Mukhriz - Berita Semasa | mStar

Cop kartun hanya untuk hiburkan kanak-kanak, bukan arahan Mukhriz

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 7:10 AM

Mukhriz (tiga, kanan) dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Seri Mentaloon, Ahad lalu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tangan kanak-kanak dicop dengan gambar kartun setelah menerima duit raya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Ahad adalah hanya untuk menghiburkan mereka dan bukan untuk tujuan mengawal.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fisol Jaafar berkata penggunaan cop itu juga bukan arahan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, sebaliknya ia perancangan jawatankuasa penganjuran majlis untuk menceriakan kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.

Malah cop yang digunakan itu adalah dakwat air yang mudah dihilangkan dan bukan dakwat kekal yang sukar dipadamkan, katanya dalam kenyataan di sini malam Isnin.

Beliau berkata demkikian sebagai mengulas status dimuat naik bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin dalam Facebook (FB) ‘Anina Saadudin' yang antara lain menulis: “COP DI TANGAN KANAK-KANAK HILANG DALAM SEHARI TAPI TANDANYA KEKAL DI HATI RAKYAT SELAMANYA.

Gambar yang menunjukkan tangan kanak-kanak yang menerima duit raya dicop pada majlis itu juga telah ditular di media sosial.

Mohd Fisol juga memaklumkan kanak-kanak berusia hingga 12 tahun yang hadir pada majlis itu menerima duit raya sebanyak RM5 seorang dan bukan RM2 seperti dinyatakan dalam FB itu.

Beliau berkata hampir 6,000 kanak-kanak menerima duit raya dalam majlis tersebut yang dihadiri oleh kira-kira 35,000 penduduk setempat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan