Bekas MB Pahang meninggal dunia - Berita Semasa | mStar

Bekas MB Pahang meninggal dunia

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 5:18 PM

Wartawan dan jurugambar di kediaman Allahyarham di Kubang Buaya.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, 79, meninggal dunia di kediamannya di Kubang Buaya di sini pada jam 12.20 tengah hari Selasa.

Anak sulungnya, Shamsol Rahman, 48, berkata arwah sudah hampir sebulan terlantar akibat komplikasi penyakit buah pinggang yang dialaminya sejak belasan tahun lalu.

"Ayah pernah melakukan pemindahan buah pinggang di Guangzhou, China 15 tahun lalu. Beliau kembali sihat selepas menjalani pembedahan itu, sebelum kembali menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sejak awal April lalu.

"Bagaimanapun, ayah dibenarkan keluar pada pertengahan Mei lalu dan menerima rawatan susulan di rumah," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di sini.

Shamsol berkata jenazah ayahnya akan disempurnakan dan disembahyangkan di rumah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan untuk dikebumikan selepas solat Asar.

Arwah yang mempunyai tujuh orang anak dan 11 cucu akan dikebumikan besebelahan kubur isterinya Puan Sri Shamsiah Razali yang meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu akibat kanser.

Abdul Rashid merupakan Menteri Besar Pahang semasa berusia 43 tahun bermula 7 Nov 1981 hingga 4 Mei 1982 sebelum memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjawat jawatan itu.

Sementara itu, menantu arwah, Hasbullah Omar, 40, berkata arwah tidak menunjukkan reaksi semasa dikejutkan pada jam 11.50 pagi, menyebabkan mereka menghubungi pihak hospital.

Hasbullah, yang berkahwin dengan anak kelima arwah, Rashidatul Akmar, juga menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang sangat mengambil berat akan kebajikan keluarga dan mereka yang datang meminta pertolongan.

"Arwah juga senang mesra dan rajin menegur orang... walaupun mempunyai gelaran Tan Sri, beliau tidak gemar meletakkan batasan dalam bergaul dengan orang ramai," katanya.

Arwah mula aktif dalam Umno sejak tahun 1957 sebelum menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Besar pada tahun 1974 dan pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang pada tahun 2011.

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan menziarahi jenazah di rumahnya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Abdul Rashid Abdul Rahman , MB Pahang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan