Adam sepanjang hayat di hospital, morfin setiap minit untuk hidup - Berita Semasa | mStar

Adam sepanjang hayat di hospital, morfin setiap minit untuk hidup

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 9:00 PM

Mohd Zaki dan isterinya, Nurul Nisa bergambar bersama Muhamad Adam Ziqri yang kini terpaksa ditahan di Hospital Muar akibat darah yang tidak berhenti mengalir daripada telinga dan mulutnya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sambutan Syawal yang sepatutnya diraikan dengan meriah bersama keluarga tercinta bertukar hiba apabila pasangan suami isteri ini diberitahu bahawa anak bongsu kesayangan mereka terpaksa menghabiskan hayatnya di hospital.

Mohd Zaki Masad, 40, berkata, anaknya Muhamad Adam Ziqri terpaksa bergantung hidup dengan bekalan darah jenis O yang disumbangkan oleh orang awam kepada pihak Hospital Muar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu rayu derma darah O buat Adam Ziqri

"Doktor cakap anak saya tidak boleh keluar dan perlu hidup di hospital sampai akhir hayatnya.

"Dia memerlukan 200 sentimeter padu (CC) darah yang perlu dimasukkan setiap tiga hari dan sekarang dia bergantung dengan satu CC morfin seminit untuk setiap 24 jam," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Suara bapa yang juga seorang peniaga kecil-kecilan itu tersekat-sekat apabila memaklumkan bahawa tanpa bekalan darah, nyawa anaknya boleh melayang bila-bila masa.

Tambah memilukan, Mohd Zaki dan isterinya, Nurul Nisa Othman terpaksa menahan sebak setiap kali melihat bakul yang dipenuhi tisu yang digunakan untuk mengelap darah anak mereka itu.

Muhamad Adam Ziqri merupakan anak lelaki tunggal pasangan ini.

mStar Online pada Isnin melaporkan, seorang ibu merayu menerusi Facebook agar orang ramai yang memiliki darah jenis O untuk datang menderma darah kerana mereka sekeluarga amat memerlukannya.

Muhamad Adam Ziqri yang berusia empat tahun itu mengalami jantung berlubang dan sindrom Myelodysplastic iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan pembentukan sel darah tidak matang secara sepenuhnya.

Susulan laporan tersebut, ramai netizen yang bersimpati dengan keadaan Muhamad Adam Ziqri berasa terkilan kerana tidak dapat mendermakan darah mereka kerana menetap jauh dari Hospital Muar.

Bagaimanapun, Mohd Zaki yang terharu dengan reaksi tersebut berkata, orang awam masih boleh menderma darah di pusat darah atau hospital berdekatan kerana pihak hospital boleh memindahkan bekalan darah berkenaan kepada mereka yang memerlukan.

"Ada yang nak derma darah kepada anak saya, tapi mereka duduk jauh. Boleh derma kepada hospital yang dekat dengan tempat mereka dan 'mention' nama Adam.

"Mudah-mudahan pihak hospital lain juga 'alert' dengan kes anak saya," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Tambah Mohd Zaki, pihaknya juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Orang ramai boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Rakyat isterinya, Nurul Nisa Othman di nombor akaun 2206-8133-1144.

Tags / Kata Kunci: Adam Ziqri
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan