Kesian Rara, habis duit raya! - Berita Semasa | mStar

Kesian Rara, habis duit raya!

Diterbitkan: Isnin, 18 Jun 2018 7:30 AM

rara

Rara. Foto Instagram young.syefura

(Ubah saiz teks)

WANITA muda ini hangat diperkatakan sebelum ini apabila membuat keputusan untuk menjadi ahli seumur hidup parti DAP pada 2014.

Kini beliau boleh tersenyum lebar apabila bergelar Yang Berhormat (YB) pada usia baru 29 tahun apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, dengan misinya mahu memperjuangkan nasib rakyat.

Menjelang Aidilfitri ini, wakil rakyat anggun dan bergaya bernama Young Syefura Othman ini pasti tersenyum mengimbas kembali kenangan hari lebaran yang tidak dapat dilupakannya.

Rara pertama kali menjadi wakil rakyat.

Lebih mesra dengan panggilan Rara, seingat beliau ketika itu baru darjah satu dan pulang ke kampung ibunya di Kampung Jelatang di Alor Gajah, Melaka.

“Masa tu balik kampung naik bas ramai-ramai dengan emak dari Sitiawan ke Melaka. Ayah masa tu bekerja jadi kami balik dulu berasingan.

“Kami naik bas henti-henti, jadi bila turun dari bas, baru mak sedar yang beg duit dia tertinggal kat tempat duduk dalam bas. Kami semua panik, habislah masa tu.

“Kami semua kejar bas, sampai berpeluh-peluh. Tapi tu lah tak ada rezeki. Duit raya yang dikumpul hilang macam tu saja,” katanya kepada mStar Online.

Rara wakil rakyat anggun dan bergaya.

Rara berkata, adik-beradik ibu kemudiannya membantu menghulurkan sumbangan, malah memberi ‘semula’ duit raya kepadanya bersama adik-beradik lain.

“Walaupun kenangan pahit, tapi pengalaman tu menyeronokkan sebab kami bukan dari keluarga yang senang, jadi seronoklah bila nak bas beramai-ramai satu keluarga.

“Sentiasa berhati-hati dan peka setiap masa. Bagi keluarga yang ramai tu perlu sentiasa waspada juga,” katanya yang merupakan anak keenam daripada tujuh adik-beradik.

Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan itu berkata, jika tahun lalu merupakan raya pertama dirinya bergelar sebagai isteri selepas berkahwin pada September 2016, raya kali ini pula sebagai wakil rakyat buat pertama kali.

Rara bersama suami, Muhamad Masyhur Abdullah. Foto Instagram young.syefura

Namun bagi Rara yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang, dirinya sudah biasa dengan aktiviti-aktiviti bersama rakyat terutama selepas menjadi Adun Ketari.

“Kalau bercakap pasal raya, masa sebelum jadi wakil rakyat pun saya memang tak tempah baju raya. Semuanya beli, dah pasang siap. Lama dah rasanya tak tempah, lebih 10 tahun.

“Pilihan kami kali ini sedondon warna ungu, sebab keluarga di sebelah suami Paya Luas di Temerloh, Pahang semua berpakat pakai ungu,” katanya sambil menambah beliau seorang yang ‘ringkas’ kerana memilih pakaian yang juga selesa dipakai untuk majlis atau program bersama rakyat.

Rara (kanan) bersama sebahagian keluarganya di Melaka pada hari raya tahun lalu.

Menurut Rara, tahun ini gilirannya beraya di kampung sebelah suami dan kemudiannya akan beraya di kampung keluarga sebelah bapanya di Kuala Muda di Penaga, Pulau Pinang.

Namun beliau akui kepakarannya bukan memasak menjelang hari lebaran, tetapi lebih kepada membantu menyediakan persiapan untuk menyambut 1 Syawal bersama keluarga.

“Jujurnya, memasak tak berapa pandai lagi jadi kena rajinkan diri untuk menolong keluarga memasak di dapur. Bakat saya potong bawang tau!,” katanya secara berseloroh.

Rara bersama keluarga.

Namun siapa sangka beliau juga pakar dan yang paling rajin bagi tugas-tugas mengisi kuih raya dalam balang tanpa mengira berapa ratus biji termasuk mengisinya semula.

“Jangan ingat mudah nak menyusun kuih raya dalam balang ni sebab memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Nak kena susun elok-elok, puasa lagi kan.

“Tapi sebenarnya saya juga akan membantu mencari bahan-bahan untuk rendang dan lemang, di kampung kami tak beli lemang tapi masak sendiri,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan majlis rumah terbuka di Ketari selepas minggu pertama Aidilfitri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rara memperoleh 9,873 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lau Hoi Keong dan calon PAS, Roslan Md Esa.

Tags / Kata Kunci: Rara , Young Syefura Othman , Ketari
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan