Presiden Umno: “Saya sedia beri laluan kepada KJ” - Berita Semasa | mStar

Presiden Umno: “Saya sedia beri laluan kepada KJ”

Diterbitkan: Isnin, 18 Jun 2018 3:48 PM

Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno sedia berundur dan memberikan laluan kepada seorang lagi calon, Khairy Jamaluddin.

Rahmat yang lebih dikenali sebagai Mat Umno berkata, beliau rela berbuat demikian kerana merasakan Khairy adalah pemimpin paling layak menduduki kerusi tersebut.

"Sekiranya pencalonan saya ditolak, saya akan sokong Khairy sepenuhnya. Malah, kalau saya layak sekalipun dan diminta oleh Khairy untuk undur diri, saya akan lakukan.

"Bagi saya, tiada pemimpin lain yang berani bersuara ke hadapan kecuali Khairy. Apabila Khairy bertanding, inilah masanya untuk Umno berubah dengan membawa suara golongan muda," katanya kepada Sinar Harian, Isnin.

Selain Rahmat, terdapat lima lagi calon yang dijangka akan bertanding jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah, Rosile Saat, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin.

Rahmat Azim Abdul Aziz.

Senarai calon tersebut disebarkan sejak Ahad, namun pengumuman rasmi akan dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor petang Isnin.

Rahmat berkata, beliau tidak mengetahui sama ada permohonannya diterima atau tidak kerana tidak menepati kriteria ditetapkan iaitu mesti pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal.

"Ibu pejabat Umno ada telefon saya dan memaklumkan hal ini. Tetapi saya tidak tarik balik permohonan. Apa pun kita tunggu pengumuman petang ini," katanya.

Beliau juga menafikan sengaja bertanding jawatan tersebut kerana ingin memecahkan undi.

"Sesiapa saja yang hantar borang pencalonan menunjukkan mereka serius untuk bertanding. Saya menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno dengan visi untuk memulihkan parti kerana tiada pemimpin yang berani ke hadapan," katanya. - Sinar Harian

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan