Bapa Altantuya jumpa Peguam Negara Selasa - Berita Semasa | mStar

Bapa Altantuya jumpa Peguam Negara Selasa

Diterbitkan: Isnin, 18 Jun 2018 8:19 PM

Setev Shaariibuu. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bapa kepada model warga Mongolia yang dibunuh,  Altantuya Shaariibuu, akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara pada Selasa.

Peguam keluarga itu, Ramkarpal Singh berkata, Dr Setev Shaariibuu akan bertemu dengan Tommy Thomas pada pukul 3 petang.

"Shaariibuu mahu membincangkan kemungkinan Kerajaan membuka semula kes (mengenai pembunuhan Altantuya)," kata Ramkarpal kepada The Star pada Isnin.

"Pemerintahan baharu ketika ini dan terdapat kemungkinan mereka mempertimbangkan untuk membuka smeula kes tersebut," tambahnya.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis tidak menemui sebarang bukti lain untuk membuka kembali siasatan pembunuhan itu.

Mei lalu, Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan bekas Unit Tindak Khas (UTK) Sirul Azhar Umar sebagai tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan  selepas membenarkan rayuan pendakwa raya dalam kes itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Tertuduh didakwa membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang.

Tags / Kata Kunci: Setev Shaariibuu , Altantuya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan