KJ sah rebut jawatan no. 1 demi survival Umno - Berita Semasa | mStar

KJ sah rebut jawatan no. 1 demi survival Umno

Diterbitkan: Ahad, 17 Jun 2018 3:00 PM

Khairy memuat naik borang pencalonannya ke laman Instagram pada petang Ahad. - Instagram/@Khairykj

(Ubah saiz teks)

KEMASKINI

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding jawatan presiden Umno, sekali gus bakal menentang Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy berkata, beliau terpaksa meminta agar borang asalnya yang diserahka pada 1 Jun lalu untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno ditarik balik.

"Borang pencalonan saya yang terkini adalah untuk jawatan Presiden Umno.

"Keputusan saya ini tidak mudah untuk dibuat. Malah sehingga beberapa hari yang lepas, saya tetap dengan pendirian saya untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden Umno sahaja," katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.

Jelasnya, beliau berbuat demikian setelah memikirkan masa depan dan survival Umno serta mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang arah tuju parti keramat itu.

Dalam kenyataan itu, Khairy turut meluahkan rasa hormatnya kepada Tengku Razaleigh dan Ahmad Zahid yang disifatkan memiliki kelebihan masing-masing sebagai seorang negarawan dan pejuang yang telah melalui jatuh bangin dunia politik.

Kenyataan penuh Khairy mengenai pencalonannya untuk jawatan presiden Umno.

"Saya sangat hormat kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Malah, saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka.

"Saya juga sangat hormat kepada YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam Umno, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya," katanya.

Terdahulu, Khairy memuat naik kertas pencalonannya di laman Instagram pada petang Ahad.

Kiri: Tengku Razaleigh. Kanan: Ahmad Zahid.

Khairy memuat naik gambar tersebut berserta kapsyen : "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Bismillahirrahmanirrahim."

Posting tersebut disambut baik oleh pengikutnya yang rata-rata bersetuju dengan keputusan beliau itu.

Sebelum ini, media melaporkan, sumber berkata bahawa Ketua Pemuda Umno itu sedang dalam proses mengemukakan kertas pencalonannya untuk pemilihan parti pada 30 Jun.

Hari ini (17 Jun) adalah hari terakhir untuk penyerahan pada pukul 5.30 petang.

Selain Tengku Razaleigh dan Ahmad Zahid, Khairy berdepan dengan seorang lagi pencabar iaitu ahli perniagaan dan blogger Rahmat Azim Abdul Aziz.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Khairy adalah calon terbaik untuk jawatan itu kerana Umno kini dianggap sebagai parti dalam kekacauan dan tidak ada arah dalam perjuangannya.

Tags / Kata Kunci: KJ , Khairy Jamaluddin , Presiden Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan