Apa kes kena kuarantin di hari raya? - Berita Semasa | mStar

Apa kes kena kuarantin di hari raya?

Diterbitkan: Ahad, 17 Jun 2018 8:00 AM

Muhammad Faiz Fadzil. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, kanak-kanaklah paling seronok dan teruja untuk meraikan hari kemenangan bagi umat Islam itu.

Manakan tidak, itulah sahaja masa yang ditunggu-tunggu untuk mereka berkumpul beramai-ramai dan mengutip duit raya daripada ahli keluarga, saudara mara mahupun jiran tetangga.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkongsi kisah pernah terlepas peluang beraya bersama rakan-rakan kira-kira 36 tahun lalu gara-gara diserang demam campak.

“Kalau tak silap saya, masa tu saya berusia lima tahun. Kami adik beradik kena demam campak sebelum raya.

“Paling tak bestnya, saya orang last kena, berjangkit dari kakak Muna ‘Izzah. Jadi pandang je la baju raya yang dah siap tempah,” katanya kepada mStar Online.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau terpaksa beraya di rumah sahaja ketika itu.

“Badan tak selesa, rasa gatal. Jadi baba bawa pergi klinik, kemudian balik rumah dia sapu ubat.

“Ibu pula terpaksa kuarantin kami kerana bimbang berjangkit dengan orang lain,” katanya.

Keluarga besar Muhammad Faiz. Foto Facebook Muhammad Faiz Fadzil

Muhammad Faiz mempunyai tujuh adik beradik lain iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Ditanya mengenai kenangan raya yang sentiasa dirinduinya, kata Muhammad Faiz, aktiviti mengemas rumah bersama arwah bapanya dan adik-beradiknya pada malam raya sering terpahat di ingatannya setiap kali Aidilfitri menjelma.

“Arwah baba seorang yang sangat rajin di rumah. Jadi malam raya, kami semua akan kemas rumah, tukar langsir dan sarung kerusi.

“Dua minggu sebelum raya pula, kami bersihkan kawasan luar rumah. Kami buat bersama arwah baba kerana dia tak suka upah orang,” katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu juga memberitahu suasana di rumah mereka akan riuh rendah terutamanya pada pagi Syawal.

“Kami adik beradik ramai, jadi berebut jugalah nak mandi. Rumah pun jadi riuh rendah,” katanya.

Di saat orang ramai berkumpul beramai-ramai selepas solat sunat Aidilfitri, peguam berusia 41 tahun itu berkata, mereka hanya berpeluang untuk makan beramai-ramai dan bergambar bersama arwah bapa selepas Asar.

"Arwah bapa amat sibuk. Biasanya pagi arwah akan solat di muasassah baca khutbah di sana. Selepas itu dia akan tukar baju untuk ke istana.

“Arwah bapa ada hubungan baik dengan Almarhum Tuanku Abdul Halim (Sultan Kedah). Selepas Asar barulah kami spend masa untuk beraya sekeluarga termasuk tangkap gambar sekali,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini pula, Muhammad Faiz berkata beliau akan pulang ke rumah ibunya, Siti Khadijah Ibrahim di Gombak, Selangor bersama isteri, Noralis Mat dan dua anaknya, Farah Aliya, 17 dan Fadzil Fikri, 8.

Muhammad Faiz bersama isteri Noralis dan dua anaknya, Farah Aliya dan Fadzil Fikri semasa beraya dengan ibunya, Siti Khadijah. Foto Facebook Muhammad Faiz Fadzil

“Kami sekeluarga akan beraya di rumah mak pada hari raya pertama. Kemudian kami akan pergi ke Melaka, rumah mertua saya.

“Hari Raya ketiga barulah saya akan balik ke Pulau Pinang, beraya bersama pengundi di sana pula,” kata timbalan ketua pemuda Amanah itu.

Pada masa sama, Muhammad Faiz berkata beliau akan turut mengadakan jamuan Aidilfitri bersama rakyat di Permatang Pasir pada 7 Julai ini.

“Jemputlah datang beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di Permatang Pasir. Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada rakyat di atas sokongan yang diberikan kepada saya pada 9 Mei lalu,” katanya.

Malah, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menyifatkan Aidilfitri kali ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ini Syawal pertama saya sebagai wakil rakyat. Sudah tentu sambutannya lagi meriah. Lebih ramai lebih meriah,” katanya.

Muhammad Faiz memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Muhammad Faiz memperolehi 9,708 undi dengan majoriti 2,981 undi.

Beliau mengalahkan calon PAS, Mohammad Fauzi Yusoff (6,727 undi) dan Anuar Faisal Yahaya dari BN (4,979 undi).

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan