“Tu dia… ‘Raja Lawak’ mai dah” - Berita Semasa | mStar

“Tu dia… ‘Raja Lawak’ mai dah”

Diterbitkan: Sabtu, 16 Jun 2018 7:30 AM

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

(Ubah saiz teks)

DAHULUNYA aktivis dan pendakwah bebas, kini beliau menjadi wakli rakyat yang sekali gus bergelar Yang Berhormat (YB).

Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, status baharu itu bukan satu perbezaan kerana sebelum ke pentas politik beliau sentiasa turun padang bertemu rakyat dan dikenali di pentas ceramah bagi menyuarakan hak serta keadilan rakyat.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Fakhrulrazi, namun tiada siapa sangka di sebalik wajahnya yang nampak serius itu sebenarnya beliau adalah 'dalang' yang akan meriuhkan suasana.

Kehadirannya pasti dinanti-nantikan saudara-maranya di kampung keluarga sebelah arwah bapa di Bagan Datuk, Perak setiap kali menjelang Aidilfitri.

Ustaz Fakhrulrazi sebenarnya seorang yang suka berjenaka. Foto NORAFIFI EHSAN/The Star

“Dalam kalangan saudara-mara, saya dikenali sebagai seorang yang sering menceriakan keadaan kerana selalu berjenaka.

“Saya tidak serius bila bersama mereka, saya sebenarnya seorang yang ‘happy go lucky’. Kalau saya datang jumpa mereka, mesti disambut dengan tu dia… Raja Lawak mai dah,” katanya secara berseloroh kepada mStar Online.

Walaupun berasal dari Lumut, tetapi kebiasaannya Ustaz Fakhrulrazi sekeluarga akan bertandang ke Bagan Datuk dengan saudara-maranya yang begitu ramai untuk berkumpul bersama.

“Sekali berkumpul lebih 1,000 saudara mara ada, dah macam kenduri. Jadi, bila ada saya memang kecohlah. Ada saja lawak yang terkeluar.

“Tak tahulah lawak tu bakat terpendam ke tak. Tapi itulah saya. Sebab tu walaupun saya dah jadi YB, kelucuan itu membuatkan mereka tidak berasa janggal bila bersama saya,” katanya.

Ustaz Fakhrulrazi bersama isteri dan enam anaknya.

Bagaimanapun anak sulung daripada enam beradik ini berkata, sejak bapanya meninggal dunia pada 2012, mereka akan beraya di Lumut terlebih dahulu sebelum ke Bagan Datuk.

Ustaz Fakhrulrazi yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, saat yang ditunggu-tunggu menjelang Aidilfitri adalah masakan ibu.

“Sambal goreng dan lontong masakan ibu tu wajib ada, menjadi makanan kegemaran saya dan keluarga di hari raya. Sudah tentu saya tak sabar nak rasa masakan ibu,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, antara yang ditunggu-tunggu sudah tentu lemang yang dibakar bapa mertuanya di Jerantut, Pahang.

“Lemang dia bukan setakat disukai keluarga kami bahkan menjadi kegemaran orang kampung. Biasanya dia akan buat banyak untuk diberikan kepada jiran tetangga. Masakan anaknya (isteri) pun saya suka terutama rendang,” kata bapa kepada enam anak itu yang turut beraya bersama keluarga mertuanya.

Ustaz Fakhrulrazi sekeluarga akan beraya di Lumut, Bagan Datuk dan Jerantut.

Bagaimanapun sesuai sebagai wakil rakyat, beliau merancang untuk beraya di Meru, Klang terlebih dahulu sebelum ke Lumut, Bagan Datuk dan Jerantut.

Bagi beliau, 1 Syawal turut dijadikan peluang untuk bertemu dengan rakyat, bukan sekadar beramah mesra dan mengeratkan silaturrahim tetapi juga mendengar masalah mereka.

“Raya pun kita kena kerja juga kerana masalah rakyat tetap ada. Macam di Meru, dua masalah paling besar adalah jalan raya dan perparitan.

“Kita juga nak rapatkan hubungan kerana kita faham selepas pilihan raya ni mungkin ada yang terguris dan terasa hati, jadi kita ambil masa ini bukan untuk berkonflik tapi bekerja bersama-sama demi menyelesaikan masalah rakyat.

“Lagipun bukan semua pengundi menetap di Meru sebab mereka adalah pengundi luar, jadi masa raya baru dapat bertemu mereka,” katanya sambal menambah majlis jamuan raya bersama rakyat dijadualkan pada 7 Julai di Dewan Meru.

Ustaz Fakhrulrazi turut berdakwah sambil menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Ustaz Fakhrulrazi turut mengambil kesempatan untuk berdakwah sambil memberikan nasihat sewaktu sesi ziarah-menziarah nanti.

“Bila raya, ramai yang hanya fikir keseronokan sahaja. Sepatutnya Ramadan ini adalah bulan tarbiah dan hasilnya dapat dilihat pada Syawal,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Ustaz Fakhrulrazi yang merupakan calon Pakatan Harapan menang majoriti 9,608 undi dalam persaingan lima penjuru antara Khairul Anuar Saimon (Barisan Nasional),  Noor Najhan Mohd Salleh (PAS), S Manikavasagam (Parti Rakyat Malaysia) dan Alex Shee Chee Weng (Bebas).

Tags / Kata Kunci: Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar , Meru
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan