“1 Syawal hari lahir Yatt, tapi hasrat abah tak kesampaian...” - Berita Semasa | mStar

“1 Syawal hari lahir Yatt, tapi hasrat abah tak kesampaian...”

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2018 4:18 PM

KENANGAN... Hairil bersama anaknya, Muhammad Rayyan Hidayat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hari raya yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan sebaliknya telah mengundang kesedihan buat lelaki ini, malah ‘parut’ yang masih baharu menyebabkan Aidilfitri kali ini suram sekali.

Si cilik kesayangan ‘intan payung’ lelaki ini ditakdirkan telah menemui ajal, disyaki akibat didera teman lelaki bekas isterinya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus. 

ARTIKEL BERKAITAN: Menitik air mata baca luahan ini: “Nanti Uyat besar, Uyat beli rumah, kereta bagi abah”

Allahyarham Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan pergi buat selama-lamanya pada 18 April lalu dan pada 1 Syawal ini umurnya genap enam tahun. 

Allahyarham Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan.

Walaupun mengingati tarikh lahir anaknya yang mesra dipanggil Yatt, Hairil Khan Azali tidak menyangka ia jatuh pada hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri.

“Saya baru perasaan bila masuk minggu pertama Ramadan. Bila fikir-fikir balik banyak yang saya nak buat sempena hari ulang tahun kelahiran Yatt seperti menempah kek.

“Tapi takdir sudah tertulis Yatt pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Namun saya cuba mendapatkan kekuatan dalam diri untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada mStar Online.

Hairil yang menyambut 1 Syawal di Beseri, Perlis berkata, tahun lalu dia membuat kejutan buat anaknya dengan menghadiahkan kek.

Sebaliknya, tahun ini dia pula dikejutkan oleh berita pemergian insan kesayangan dengan cara yang paling menyayat hati.

“Sayunya hati tapi saya sentiasa kenangkan arwah. Saya buat persiapan dengan menempah kek bagi memperingati hari ulang tahun arwah ke-6.

“Ia akan dikongsikan buat tetamu terutama budak-budak yang berkunjung ke rumah keluarga saya, sambil sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya.

Hairil yang mengusahakan perniagaan sabun masih dapat membayangkan keterujaan anaknya menerima kek sempena ulang tahun ke-5, tahun lalu.

“Walaupun saya tak nampak Yatt makan kek tu, tapi apa yang diceritakan kepada saya nampaknya dia begitu suka. Saya tahu Yatt memang sukakan kek.

“Sempena memperingati ulang tahun Yatt ke-6 pada 1 Syawal ni saya tempah kek coklat moist seberat satu kilogram. Kek ulang tahun untuk Yatt yang dah arwah,” katanya dengan nada sebak.

Kek hari ulang tahun Yatt yang ke-6.

Bagaimanapun, Hairil menjelaskan bahawa ia bukan bermakna dirinya tidak menerima ketentuan Ilahi di atas pemergian anaknya itu.

“Tapi saya nak bagi budak-budak makan. Ya lah, saya saja yang tak berapa gembira, tapi bagi orang lain terutama budak-budak, hari raya yang menggembirakan mereka.

“Nak harap tengok wajah Yatt teruja tengok kek tak kesampaian. Jadi, dapat tengok budak-budak seronok makan kek tu pun dah cukup. 1 Syawal hari ulang tahun Yatt, ni kek daripada abah,” katanya.

Awal bulan lalu, penganggur, Noraizuwan Hamali, 26, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kangar, atas tuduhan membunuh Muhammad Rayyan.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: Muhammad Rayyan Hidayat , Hairil Khan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan