"Masih terasa sakit perut masa raya" - YB Fahmi - Berita Semasa | mStar

"Masih terasa sakit perut masa raya" - YB Fahmi

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2018 8:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dari pentas lakonan ke pentas politik, nama Fahmi Fadzil semakin dikenali selepas memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Biarpun gelanggang permainan sudah berubah, namun bagi pemuda yang berasal dari bandar ini, dedikasinya terhadap apa jua perkara yang diceburi tidak akan berkurang walau sedikit.

Bagi ahli politik berusia 37 tahun itu, penduduk Parlimen Lembah Pantai adalah keluarga baharunya yang telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi suara kepada masalah mereka hadapi.

Kata Fahmi, tahun ini merupakan tahun pertama beliau bergelar wakil rakyat dan pastinya sambutan Syawal kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya.

“Mungkin raya tahun ni saya kena bekerja tapi saya memang teruja untuk luangkan masa bersama orang yang jemput kenduri untuk bersuai kenal, dapat tahu (kenal) tempat dan dapatkan maklum balas daripada mereka.

“Mungkin ini kali pertama juga saya akan pergi ke rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebelum ini saya tidak pernah pergi,” katanya kepada mStar Online sambil menambah beliau bersikap terbuka dalam proses mendekati rakyat untuk mengetahui lebih mendalam tentang isu dan permasalahan mereka.

Tambah Fahmi, kesibukan dalam menjalankan tugas dan memenuhi jemputan sebaik diberi mandat untuk menjadi pemimpin menyebabkan beliau belum sempat melakukan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.



Pemimpin PKR, gabungan parti Pakatan Harapan itu juga sempat berkongsi pengalaman manis dan pahit semasa merayakan Syawal yang tidak mungkin dapat dilupakannya.

“Masa kecil-kecil dulu ketika balik kampung sebelah ayah saya di Kuala Pilah, selalunya saya dan saudara mara lain akan tidur beramai-ramai di ruang (tamu).

“Dalam 30 orang semuanya, tidur memang berteraburlah. Itu yang paling best.

“Kenangan saya tidak boleh lupakan pula adalah sakit perut semasa raya kerana keracunan makanan. Memang tak nak berlaku keadaan macam tu lagi,” ujarnya. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu akan menyambut raya pertama di Petaling Jaya sebelum pulang ke kampung halaman isterinya di Temerloh, Pahang.

Pada PRU14, Fahmi meraih undi majoriti sebanyak 33,313 sekali gus mengenepikan pencabar terdekatnya yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik RajaZainal Abidin (Barisan Nasional) yang memperoleh 27,715 undi dan wajah baharu, Fauzi Abu Bakar (PAS) dengan hanya 5,277 undi.


Tags / Kata Kunci: Fahmi Fadzil , Lembah Pantai
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan