Presiden Umno: Hanya Anwar yang mampu... - Jamal - Berita Semasa | mStar

Presiden Umno: Hanya Anwar yang mampu... - Jamal

Diterbitkan: Khamis, 14 Jun 2018 1:29 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tampil memberikan sebab mengapa beliau mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden Umno yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal cadang Anwar jadi Presiden Umno

Menerusi video berdurasi kira-kira tiga minit yang tular di media sosial pada Khamis, Jamal menyifatkan Ketua Umum PKR itu mampu menyatupadukan orang Melayu.

“Kenapa Anwar yang saya cadangkan sebagai presiden Umno? Suatu ketika dahulu Anwar merupakan pemimpin kita sebagai timbalan presiden parti. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan dilucutkan jawatannya.

“Sudah sampai waktunya Umno memerlukan sokongan daripada seluruh akar umbi dan menyatupadukan seluruh orang Melayu.

“Jadi, saya melihat penyatupaduan orang-orang Melayu ini hanya mampu dilakukan Anwar,” kata Jamal yang berbaju kemeja merah dan bersongkok.

Jamal turut menegaskan bahawa ia adalah cadangan beliau sendiri tanpa membabitkan individu lain atau parti.

Terdahulu, Jamal membuat kejutan apabila mencadangkan Anwar sebagai presiden Umno pada sesi pemilihan parti akan datang.

Menerusi pengumuman yang dibuat dalam video yang berasingan, Jamal turut mencadangkan naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden.

Malah, beliau turut mencadangkan naib presiden yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bertanding bagi jawatan naib presiden.

Sementara itu, Jamal mengesahkan keputusan beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti.

Tags / Kata Kunci: Jamal Md Yunos , Anwar Ibrahim , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan